KUALA LUMPUR – Kesatuan Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU)
merancang menubuhkan koperasi bagi menjana pendapatan dan membantu
mendapatkan pekerjaan baharu bagi kakitangan Malaysia Airlines (MAS)
yang bakal diberhentikan kerja dalam penstrukturan semula syarikat
penerbangan itu.
Presiden MASEU Alias Aziz berkata koperasi yang dijangka mula
beroperasi Ogos ini akan memudahkan sebarang permohonan bagi mendapatkan
peluang pekerjaan baharu seperti permit teksi.
“Mungkin ada yang berminat memandu teksi, koperasi MASEU boleh
memohonnya daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)…dijangka
300 permit akan dipohon daripada SPAD,” katanya kepada Bernama.
Beliau mengulas mengenai syarikat penerbangan itu dijangka
mengeluarkan Notis Pemberhentian yang disertakan Surat Tawaran Bekerja
dengan syarikat baharu Malaysia Airlines Bhd (MAB) kepada 20,000
kakitangan pada 1 Jun ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya setakat ini menerima
pelbagai tawaran daripada agensi dan jabatan kerajaan serta swasta yang
bersedia mengambil mereka bekerja termasuk perhotelan dan pemandu teksi.
Selain itu, Alias berkata Pusat Pembangunan Korporat (CDC) yang akan
ditubuh mulai 1 Jun ini juga bersedia membantu pekerja MAS yang
ditamatkan perkhidmatan.
Beliau berkata CDC bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan bagi
menawarkan nasihat dan perundingan mengenai perancangan kewangan,
pengurusan kredit, pelaburan serta keusahawanan.
“CDC akan bertanggungjawab untuk memastikan mana-mana staf mendapat
kerja di tempat sesuai dan mana-mana kekosongan di badan berkanun,
syarikat swasta atau agensi kerajaan lain termasuk perbincangan bersama
Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan
Industri (MITI),” katanya.
Bagi yang meminati perniagaan, katanya, mereka yang terbabit akan
dibantu dari segi modal dan bimbingan usahawan di CDC yang terletak di
Pulau Pinang, Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.
Pihaknya juga akan menubuhkan Persatuan Bekas Kakitangan MAS selepas
pembubaran kesatuan itu bagi meneruskan usaha menjaga kebajikan mereka
selain memastikan perancangan pelan pemulihan itu tidak mengabaikan
mereka, katanya.
“Kita tidak mahu ada bekas-bekas kakitangan MAS yang diberhentikan
kerja tidak mempunyai pekerjaan dan berada di bawah paras kemiskinan
selain kakitangan di syarikat baharu mempunyai tugas dan pelan pemulihan
dilaksanakan seperti dirancang,” katanya.
Mengenai notis pemecatan dan pakej pemberhentian yang ditawarkan,
Alias percaya semua kakitangan MAS telah bersedia menerima apa jua
keputusan setiap tawaran yang bakal ditentukan syarikat baharu itu,
Isnin ini.
“Keputusan itu dicapai selepas lima siri perbincangan bersama pihak
atasan Khazanah, yang saya anggap berbaloi. Imbuhan baik kepada mereka
yang masuk syarikat baharu sama ada kontrak dan dikatakan ramai akan
diambil sebagai staf tetap,” katanya sambil menambah bersedia menerima
surat pemberhentian kerja selepas 34 tahun bekerja dengan MAS.
Antara 6,000 dan 8,000 kakitangan MAS daripada kira-kira 20,000 akan
diberhentikan oleh Khazanah dalam tempoh setahun sebagai sebahagian
daripada pelan RM6 bilion untuk mengecilkan syarikat penerbangan itu
dengan memberi tumpuan kepada laluan jarak sederhana serantau.
Dua pertiga daripada kakitangan terbabit akan diambil semula oleh
syarikat baharu, MAS Bhd, yang akan mula beroperasi pada 1 September.
Sebuah akhbar berbahasa Inggeris sebelum ini melaporkan Ketua Pegawai
Eksekutif (CEO) MAS yang baharu, Christoph Mueller dipetik berkata
setiap kakitangan yang ditamatkan perkhidmatan akan mendapat bayaran
asas bergantung kepada gred mereka dan tempoh perkhidmatan.
Mereka yang tidak ditawarkan pekerjaan dengan MAS Bhd juga layak
untuk menerima bayaran ex-gratia manakala mereka yang ditawarkan bekerja
pula akan mendapat bonus. – BERNAMA