Ketua Penerangan PAS Dakwa "Portal Itu" Siar Laporan "Spin" 80%

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan At-Tantawi
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan At-Tantawi mendakwa laporan berita dari portal media di internet kepada akar umbi PAS dengan maklumat yang mana bukan sahaja salah, malah bersifat berat sebelah.

Nasruddin turut menyebut nama dua portal, Malaysiakini.com dan The Malaysian Insider, yang dikatakan telah melaporkan "spin" berbanding melaporkan perkara yang tepat dan sebenar.

"Sebanyak 80 hingga 90 peratus laporan mereka dan cara mereka melaporkan adalah spin (putar belit) daripada cerita yang betul.

"Dua hari lepas, saya menghadiri satu dialog dengan ahli PAS di Alor Gajah dan Jasin di Melaka. Ada di antara mereka yang menyoal mengapa, selaku ketua penerangan parti dalam muktamar, saya mencabar DAP berlawan siku dan lutut.

"Saya menyoal mereka sama ada mereka hadir muktamar parti, dan mereak kata tidak. Mereka beritahu saya mereka baca mengenai kenyataan saya dalam Malaysiakini dan The Malaysian Insider.

"Sejak muktamar itu hingga sekarang, kenyataan yang paling ramai cakap ialah berkaitan siku dan lutut," kata Nasrudin di Markaz Operasi PAS Pongsu Seribu di Kepala Batas, kelmarin, sebagaimana yang dipetik dari Malaysiakini.

Beliau merujuk kepada ucapannya dalam Muktamar PAS ke-61 di Kuala Selangor ada 5 Jun yang mana beliau dipetik sebagai berkata sehingga mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.

"Dia (DAP) tampar kita banyak kali. Bila kita kata jangan tampar pipi kanan sebab pedih, dia tampar pipi kiri. Kemudian dia tampar bertalu-talu. Akhirnya kita tampar dia sekali, baru dia tahu bahawa kena tampar itu sebenarnya pedih.

"Saya rayu janganlah cabar kesabaran kami. Walaupun kami dari Dewan Ulama yang rata-ratanya memakai kopiah, serban, berjubah, tetapi ingat dalam jubah ini ada siku dan lutut yang masih kita belum guna lagi," katanya ahli parlimen Temerloh dalam muktamar itu. -Kedahnews.com