Kit Siang Terus Persalahkan Abdul Hadi

Penasihat DAP, Lim Kit Siang
ALOR SETAR - DAP bagaikan tidak memberi ruang bagi PAS untuk "bernafas" apabila kepimpinan parti itu terus menerus melancarkan serangan terhadap Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang disifatkan sebagai punca Pakatan Rakyat berkubur.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang menegaskan bahawa sikap Abdul Hadi yang mahu membuat penyelesaian sendiri telah memusnahkan Pakatan Rakyat meskipun Presiden PAS itu menegaskan bahawa gabungan itu masih belum berkubur lagi.

Bapa kepada Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, Abdul Hadi telah membuat banyak keputusan melanggar konsensus dan rangka kerja polisi bersama yang menjadi dua tiang yang mengawal pakatan pembangkang itu.

"Saya berasa pelik bila Hadi mendakwa Pakatan Rakyat tidak mati.

"Pada tahun lepas, beliau telah secara bersendirian memusnahkan Pakatan dengan melanggar konsensus dan rangka kerja polisi bersama Pakatan, dua tiang yang mengawal kejayaan PR dalam pilihan raya umum ke-13, di mana tanpanya, memang tidak wujud Pakatan Rakyat," kata Kit Siang dalam satu kenyataan semalam.

Abdul Hadi, pada Jumaat lalu menegaskan bahawa Pakatan Rakyat masih hidup dan menempelak keputusan DAP yang mengumumkan gabungan parti pembangkan itu telah berkubur.

Beliau turut menegaskan bahawa DAP sama sekali tidak mempunyai hak untuk menyebut bahawa gabungan itu tidak lagi wujud.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Bercakap kepada pemberita di kediamannya di Terengganu, Presiden PAS itu berkata tiada sebarang kenyataan rasmi mengenai pembubaran Pakatan oleh DAP dan mendakwa rakan-rakan sekutunya bertindak tergesa-gesa.

Walau bagaimanapun, Kit Siang seolah tidak menghiraukan kata-kata Abdul Hadi itu dan menyatakan bahawa pihaknya tidak mempunyai kepentingan untuk campur tangan dalam percanggahan pandangan beberapa pemimpin PAS berhubung status pakatan pembangkang.

"Memandangkan kepimpinan PAS yang baru dilihat seolah-olah bertelagah antara satu sama lain sama ada usul pada Muktamar PAS telah membawa kepada pembubaran Pakatan Rakyat, saya tidak mempunyai kepentingan campur tangan dalam perbezaan tafsiran mereka," kata Ahli Parlimen Gelang Patah.

Kit Siang merujuk kepada kenyataan Dewan Ulama PAS sebelum ini di mana Datuk Dr Mahfodz Mohamed seolah-olah bersetuju bahawa Pakatan telah dibubarkan.

Mahfodz sebelum ini turut dipetik berkata bahawa dia tidak menyesal dengan usul muktamar untuk memutuskan hubungan dengan DAP, walaupun ia telah menyebabkan pembubaran Pakatan Rakyat. -Kedahnews.com