Kita diuji dengan cuaca panas di Ramadhan kali ini... |
PUTRAJAYA – Malaysia diramal mengalami keadaan cuaca panas dengan
taburan hujan yang sedikit sepanjang bulan Ramadan tahun ini, demikian
menurut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia.
Timbalan Ketua Pengarah Strategik dan Teknikal Jabatan Meteorologi
Malaysia Dr Mohd Rosaidi Che Abas berkata suhu pada bulan Ramadan yang
bermula pertengahan Jun diramalkan sekitar 33 hingga 35 darjah celsius
di samping keadaan hujan yang kurang daripada biasa.
“Suhu biasa di Malaysia adalah sekitar 30, 31, 32 darjah celsius tapi
untuk puasa ini kita ramalkan agak panas sedikit mungkin sampai 35
darjah celsius,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata ini disebabkan negara telah memasuki musim monsun
barat daya yang secara relatifnya menyebabkan jumlah hujan diterima
berkurangan.
Keadaan cuaca panas itu dijangka berterusan sehingga September, katanya.
Dr Mohd Rosaidi berkata keadaan suhu mungkin berbeza mengikut tempat,
dengan memberi contoh kawasan di sebelah utara seperti Perlis dijangka
lebih panas dengan penambahan suhu sehingga satu atau dua darjah
celsius.
Tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa
umat Islam seluruh Malaysia ialah Selasa 16 Jun ini bersamaan 29 Syaaban
1436 Hijrah.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mohd Rosaidi berkata berikutan
negara kini berada dalam monsun barat daya, ia sekali gus akan
mengurangkan ribut petir.
Mengulas tentang perkongsian yang menjadi viral di laman sosial
mengenai saranan agar orang ramai membasahkan pakaian ketika hujan untuk
mengurangkan kecederaan serius jika dipanah petir, beliau berkata ia
adalah tidak benar.
“Air merupakan satu daripada pengalir elektrik, maka jika ada kilat
pada waktu hujan dan baju pula dibasahkan (dengan air) maka kemungkinan
untuk kilat menyambar ada,” katanya.
Katanya tempat terbaik untuk mengelak daripada disambar petir ketika
di luar rumah adalah dengan berada di dalam kenderaan kerana tayar pada
kenderaan merupakan penebat elektrik terbaik.
“Elakkan daripada berada di luar rumah ketika ribut kuat berlaku,
tetapi kalau kebetulan berada di luar segera berlindung di dalam
bangunan kerana setiap bangunan ada penebat kilat.
“Paling penting jangan berada di kawasan lapang atau di bawah pokok
kerana aliran caj akan ke tanah dan dibimbangi ke pokok sehingga
mengancam nyawa,” katanya. – BERNAMA