Datuk Seri Najib Tun Razak |
KUCHING – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau sedang berunding
dengan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem bagaimana cara konsep
‘penurunan kuasa’ dapat dilaksanakan, yang akan memberikan beberapa
kuasa tertentu milik jabatan Persekutuan kepada kerajaan negeri.
“Selama ini kuasa banyak dipegang oleh jabatan kerajaan dan keputusan
di buat di Putrajaya. Sudah sampai masanya kuasa diperturunkan kepada
jabatan-jabatan kerajaan negeri Sarawak kalau jabatan kerajaan negeri
boleh buat.
“Kita parti yang sama jadi kita boleh berunding,” kata perdana
menteri dalam ucapan pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat
#SarawakforNajib, di Stadium Perpaduan Negeri Sarawak hari ini.
Mengulas ucapan Adenan mengenai tambahan royalti minyak dan gas
kepada negeri ini, Najib berkata beliau akan menyemak permohonan itu.
“Saya sambut apa Adenan kata tadi, kalau nak royalti tambahan kita
tengok dan runding dahulu. Saya tidak menolak tetapi saya kena semak.
“Kalau boleh saya nak bagi (royalti tambahan) kepada Sarawak supaya
sektor gas dan minyak beri rahmat yang lebih kepada negeri ini,” kata
Najib.
Sementara itu, beliau berkata sejak lima tahun menjadi perdana
menteri beliau sudah meluluskan lebih RM1 bilion, peruntukan serta merta
kepada Sarawak termasuk meluluskan Lebuhraya Pan Borneo yang
ditunggu-tunggu 50 tahun oleh rakyat negeri ini.
Beliau berkata Adenan juga mahu Pan Borneo dari Lundu ke Lawas jadi
‘super highway’ (lebuh raya laju) tidak perlu banyak lampu isyarat
kerana kalau ada lampu isyarat, kena berhenti, tidak jadi ‘super
highway’ lagi.
“Jadi saya telah telefon Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Tan Sri Dr
Irwan Serigar Abdullah), saya kata kita mesti ganti lampu isyarat ini
dengan ‘bypass’ (pintasan) jangan ada (lampu isyarat) pun tidak apa, dan
kalau perlu tambahan sikit lagi peruntukan pun tidak apa, kerana orang
Sarawak setia kepada kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya dan
mendapat tepukan gemuruh.
Perdana menteri berkata sokongan rakyat Sarawak kepada beliau dan
kerajaan BN serta keputusan negeri ini untuk merdeka dalam Malaysia
merupakan satu keputusan tepat, justeru itu Sarawak juga berhak untuk
memiliki ‘super highway’.
“Itu keputusan yang tepat. Rahmat merdeka mesti melimpah ruah kepada
Sarawak. Oleh itu Pan Borneo jangan ada tol sama sekali, ini janji BN,”
katanya dan menambah kata lebuh raya itu akan menjadi game changer
(faktor perubahan)kepada pembangunan di Sarawak. – BERNAMA