KUALA LANGAT – Seorang lelaki maut akibat cedera parah di leher
selepas dilibas dengan pisau oleh adik lelakinya dalam kejadian di Jalan
Orkid, Batu 8 Sijangkang, Telok Panglima Garang di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Zailan Tasir berkata dalam
kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa yang berusia 32 tahun dikatakan
bertengkar dengan suspek dalam rumah mereka.
“Kejadian bermula apabila mangsa bertengkar dengan adiknya yang berusia 26 tahun disebabkan suspek tidak berpuasa.
“Berikutan itu berlaku pergaduhan antara kedua mereka apabila mangsa
bertindak agresif dengan mengambil besi panjang di bahagian dapur dan
suspek turut ke dapur mengambil pisau,” katanya kepada pemberita di
lokasi kejadian.
Zailan berkata ketika pergaduhan, suspek menyerang abangnya dengan
melibas pisau menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di leher
kiri.
“Suspek berhenti menyerang mangsa apabila melihat darah mengalir banyak di bahagian leher si mati.
“Akibat kecederaan itu, mangsa keluar dari rumah bersama seorang
rakan lelaki dengan memandu Proton Wira milik suspek ke Hospital Tengku
Ampuan Rahimah (HTAR), Klang,” katanya.
Zailan berkata mangsa, bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Berikutan kejadian itu, beliau berkata polis menahan suspek untuk
siasatan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun
Keseksaan. – BERNAMA