KPDNKK Kedah Rampas 25,000 Pakaian Berjenama

ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah hari ini merampas 25,000 helai pakaian tiruan pelbagai jenama terkemuka di sebuah kedai pemborong di Taman Tunku Hosna di sini.

Ketua Unit Harta Intelek KPDNKK Kedah Azmi Dan berkata serbuan pada 11.30 pagi itu dilakukan berikutan aduan tentang penjualan produk tiruan oleh pengilang jenama berkenaan.

Pengadu katanya, telah membuat laporan dah hasil pemantauan selama tiga minggu di premis terbabit, kementerian berjaya merampas pakaian tiruan yang menggunakan jenama Adidas, Puma dan Nike.

"Pemilik kedai ini telah menempatkan pakaian tiruan ini di dua buah kedai yang terletak berhampiran dan kita dapati ia telah lama beroperasi," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Azmi berkata pemborong berkenaan mendakwa sehelai pakaian tiruan itu akan dijual secara borong kepada peniaga pasar malam dan pasar hari sebelum dijual kepada pelanggan pada harga RM15 sehelai.

Beliau berkata dengan sehelai dijual pada harga RM15, pemborong dianggar memperoleh keuntungan lebih RM375,000.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang untuk syarikat manakala RM10,000 bagi individu. - Bernama