ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan (KPDNKK) menerima sejumlah 530 aduan berhubung Cukai Barang
dan Perkhidmatan (GST) di Kedah sejak ia dilaksana pada 1 April lepas.
Pengarah Pejabat KPDNKK Kedah, Mohamad Fitri Hassan berkata pihaknya
berkata pihaknya banyak menerima aduan berkaitan GST melalui e-aduan
dengan 339 aduan diikuti 122 aduan menerusi panggilan dan 69 aduan yang
dilaporkan pengguna sendiri di pejabat KPDNKK.
Selain menerima aduan pihaknya turut mengeluarkan 62 notis mengikut
Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP) kepada
peniaga.
Beliau juga berkata sejumlah 70 kes disiasat mengikut AKHAP 2011 hasil
Ops Catut ke atas 27,976 premis perniagaan di seluruh Kedah yang mana
Sungai Petani mencatatkan kes paling banyak dengan 21 kes diikuti Alor
Setar (15), Kubang Pasu (14), Kulim (10), Baling (tujuh) dan Langkawi
dengan tiga kes.
"Sebanyak 106 kes telah dicatatkan secara keseluruhan yang mana
melibatkan 70 kes di bawah AKHAP, 32 kes di bawah Akta Timbang dan Sukat
1972 (ATS), tiga kes di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (APP) dan
satu kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (APD).
"Hasil pemeriksaan mendapati nilai kompaun bagi keseluruhan kes ini
berjumlah RM14,500 dan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM9,380.48,"
katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. -Bernama