Yemen menjadi negara Islam terbaru yang diseretkan dalam konflik politik selepas beberapa negara Islam lainnya hancur. Daripada apa yang berlaku sekarang, Yemen sudah pasti menjejaki negara yang jauh lebih besar dan kuat seperti Libya, Iraq, Mesir, Tunisia dan Syria. Semuanya tersungkur dalam gejolak rakyat yang terpesona dengan kelunakan demokrasi yang diperagakan Barat.
Negara-negara ini bukan sahaja gagal bersatu dan membentuk satu blok dunia Islam yang kuat malah berhadapan dengan krisis dalaman kerana kelemahan kepemimpinan pemimpin Islam sendiri.
Kelemahan ini membuka ruang kepada penjajahan dalam bentuk baharu Barat ke atas Islam iaitu menjaja "demokrasi" padahal demokrasi bukanlah isunya.
Jangan percaya dengan propaganda Amerika Syarikat (AS) bahawa berlakunya Arab Spring sebagai kebangkitan rakyat menuntut demokrasi.
Arab Spring yang menghancurkan banyak negara Islam adalah kerja AS dengan cara menghulurkan bantuan senjata secara sulit untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih rakyat. Di mana demokrasinya kalau rusuhan jalanan dijadikan penentu turun atau naiknya sesebuah kerajaan?
AS menjadi penjajah ekonomi selepas era Perang Dingin dengan Kesatuan Soviet. Maka motif campur tangan secara langsung atau tidak ke atas konflik di negara Islam adalah berpaksikan tuntutan ekonomi.
Iraq, Libya, Mesir, Tunisia dan Syria misalnya mempunyai kekayaan hasil bumi yang menjadi tarikan AS untuk merompaknya secara sah. Konflik yang akhirnya menghancurkan negara kerana kekayaan yang tidak mampu diuruskan, bukan disebabkan kemiskinan.
Yang berada di belakang AS adalah Yahudi yang menjadi penentu dasar luarnya apabila semua Presiden AS terpaksa bergantung kepada keupayaan kewangan pelobi Yahudi untuk memenangi pilihan raya. Sempena bulan Ramadan yang mulia lagi menginsafkan ini, elok kita menoleh dan mengambil iktibar terhadap tragedi yang melemah, meminggir dan menghancurkan dunia Islam disebabkan kegagalan dan kejahatan pemimpin Islam sendiri.
Memanglah sangat memalukan apabila dunia Islam gagal membebaskan Palestin daripada ditindas Yahudi Zionis sejak 1948 lagi. Memang munasabah kegagalan itu kerana pemimpin di banyak dunia Islam jauh lebih materialistik dan tidak amanah berbanding Barat. Malah mereka juga senada dengan Yahudi Zionis.
Rapuh
Dengan berbagai-bagai fragmentasi misalnya pertentangan antara fahaman Syiah dan Sunni dalam Islam telah dipergunakan AS dan hasilnya adalah pengganas Islamic State (IS). Perkataan "Islamic" sengaja digunakan bertujuan menyekutukan Islam dengan keganasan dan doktrin ini disemarakkan pada pasca tragedi 11 September 2001.
Kita tidak boleh terlalu percaya dengan momokan AS bahawa pengganas IS adalah dalam kalangan Islam tanpa mempersoalkan siapakah yang mempunyai agenda menghancurkan negara-negara Islam. Akhbar The Telegraph, 8 Mac tahun lalu menerusi analisis bertajuk US and Europe in major airlift of arms to Syrian rebels through Zagreb antara lain mendedahkan AS menyalurkan bantuan peralatan tentera sebanyak 30,000 tan kepada pelampau Syria.
Senjata itu dihantar dari Zagreb menggunakan 75 kapal terbang pengangkut tentera kepada pengganas yang dikenali sebagai IS.
Sekiranya kepemimpinan pemimpin Islam tidak terpisah dengan ajaran Islam serta tidak mempunyai agenda mengaut kekayaan peribadi apabila dipilih secara demokrasi memimpin negara Islam, peradaban akan menjadi tunggak kepada kestabilan sosiopolitik.
Tetapi apabila pemimpin berkenaan memisahkan diri dari ajaran Islam, mereka diperhatikan oleh rakyat yang tertindas oleh sikapnya yang diktator dan zalim.
Inilah yang membuka pintu kepada campur tangan asing, sama ada secara terang atau sebaliknya. Kebersatuan menjadi rapuh apabila rakyat sudah tidak sayangkan pemimpin mereka.
Oleh kerana itu kita perlu melihat dan mengambil iktibar daripada kejatuhan Khalifah Uthmaniyah sekali gus menjadi detik penting keruntuhan dunia Islam.
Kita akan lebih jelas lagi mengenai ketempangan kepemimpinan pemimpin Islam di beberapa negara sekiranya kita meneliti analisis dan huraian yang dibuat oleh tokoh saintis politik Samuel Huntington dalam bukunya yang paling berpengaruh, The Clash of Civilizations and the Remaking of World Order (1996). Salah satu tajuk kecil dalam buku itu, Islam: Consciosness without cohesion, Huntington menekankan bahawa faktor krisis di beberapa negara Islam ketika itu disebabkan oleh konflik dalaman dan berpecah-pecah.
Huntington percaya bahawa ketiadaan negara Islam yang kuat menyumbang kepada terdedahnya kepada konflik dalaman dan dipengaruhi oleh anasir luar sekali gus melemahkan Islam.
“Negara Islam yang kuat akan menyumbang kepada keutuhan ekonomi, ketenteraan, kecekapan kepemimpinan, ketinggian identiti Islam dan iltizam menyediakan pemimpin politik dan agama kepada rakyat, “ tulis Huntington yang dianggap saintis politik terbaik setidak-tidaknya dalam masa setengah abad ini.
Beliau memberikan tumpuan analisis kepada enam negara Islam antaranya Indonesia, Mesir, Iran, Pakistan dan Turki tetapi menurut kesimpulannya, “Setakat ini tidak ada satu pun yang boleh dianggap bertaraf negara Islam yang kuat dan cekap.”
Ini menunjukkan kepincangan kepemimpinan yang menjadi penyumbang utama keruntuhan politik dan peradaban di banyak negara Islam yang akhirnya tersungkur dalam permainan kuasa besar AS yang mengimpikan kekayaan hasil bumi dan melemahkan Islam.
Maka dalam konflik yang berlaku di Yemen, sama ada tentera kerajaan mencapai kemenangan atau sebaliknya, itu sedikit pun tidak menyumbang kepada kejayaan dan ketinggian peradaban Islam. Tragedi pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di dunia Islam disamping banyak pula yang menjadi mangsa doktrin sosial Barat yang bertentangan dengan Islam bukanlah berita gembira kepada kita.
Malah bukan juga kegembiraan kepada warga dunia yang mendokong keamanan dan kesejahteraan. Sama ada menang atau tewas dalam pertempuran yang hancur adalah rakyat dan peradaban Islam yang dahulunya berada di tahap tertinggi.
Sumber: Utusan