ALOR SETAR - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel supaya berhenti bersikap menuding jari dengan menyalahkan pihak lain atas kemelut yang sedang melanda MIC yang kian meruncing.
Melalui laman sosial Twitter rasminya pada hari ini, Najib menegaskan bahawa Palanivel harus belajar untuk menerima keputusan perundangan yang ditentukan oleh pihak mahkamah dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
"Dia perlu berhenti menyalahkan orang lain dan perlu patuh pada keputusan mahkamah dan RoS," tulis Najib di laman Twitternya hari ini.
Najib menegaskan bahawa beliau akan memanggil Palanivel bagi mendapatkan penjelasan mengenai kenyataan Presiden MIC itu yang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.
Krisis dalaman MIC semakin berlanjutan setelah Palanivel bertindak menggantung keahlian Timbalannya, Datuk Seri Dr S Subramaniam, Naib Presiden, Datuk K Saravanan dan 10 ahli selama setahun baru-baru ini.
Keputusan tersebut dibuat setelah kesemua mereka dikatakan telah gagal membatalkan mesyuarat tidak sah Interim Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang berlangsung pada Isnin lalu.
Palanivel sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila menuding jari kepada Perdana Menteri dan menyalahkan beliau susulan kemelut yang melanda MIC ketika ini.
Dalam satu perhimpunan yang dibuat di PWTC semalam, Palanivel dilapor telah menuduh Najib memihak kepada RoS lantas kononnya memberi tekanan kepada MIC untuk menolak pemilihan parti yang diadakan pada 2013 lalu. -Kedahnews.com