Ladang Jadi "Tong Sampah" Di Kulim

Hidayah menunjukkan kawasan ladang yang dijadikan tempat pembuangan sampah haram.
KULIM - Penduduk Taman Serindit dekat sini, meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sampah di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran taman berkenaan.

Penduduk, Kholijah Zakaria, 62, berkata, kawasan itu mula dijadikan tempat pembuangan sampah haram sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, pelbagai jenis sampah dibuang di sini termasuk sisa kilang.

"Sebelum ini, saya pernah lihat ada sebuah lori membuang sampah di sini.

"Dahulu pihak berkenaan membuang sampah di kawasan semak, kini di kawasan ladang pula," katanya.

Katanya, tindakan itu menyebabkan kawasan berkenaan tercemar selain menjadi tempat pembiakan nyamuk dan haiwan berbisa.

"Oleh itu, diharap PBT dapat membersihkan kawasan ini dan mengenakan tindakan kepada individu yang membuang sampah di sini," katanya.

Sementara itu, Hidayah, 30, berkata, bukan sahaja plastik, malah kaca juga dibuang di kawasan itu.

Menurutnya, kawasan ladang itu sering dilalui kanak-kanak di sini.

"Saya risau kaca yang dibuang di kawasan itu akan membahayakan kanak-kanak di sini," katanya.

Sumber: Sinar Harian