Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin |
ALOR SETAR - Masyarakat diminta tidak terlalu fobia dalam menangani isu
lambang sebuah agama yang dikatakan terdapat pada rantai kunci diberikan
Kolej Matrikulasi Perlis (KMP) kepada pelajar baharu sesi 2015/2016
minggu lalu.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, tindakan
terlalu fobia terhadap lambang itu kelak menyebabkan mungkin huruf ‘t’
tidak boleh ditulis atau tidak boleh melalui jalan di simpang empat.
Sebelum ini, pihak kolej berkenaan menghantar surat penjelasan kepada beliau mengenai kedudukan sebenar kejadian itu.
Dalam pada itu Pengarah KMP, Nuzrin Nuiman turut tampil menjawab isu terbabit.
Nuzrin berkata, pihak kolej pada Sabtu lalu menerima aduan daripada
seorang pelajar yang mendakwa terdapat lambang sebuah agama pada rantai
kunci kolej.
“Sebenarnya ia untuk dijadikan tapak untuk melekatkan plat logo KMP.
“Bagi mengelakkan isu ini berpanjangan, pihak kolej memaklumkan kepada
pembekal untuk menarik balik dan menggantikan dengan kunci rantai yang
baharu,” katanya.
Mengulas lanjut, Nuzrin berkata, pada Ahad lalu, pihak kolej membuat
pengumuman kepada semua pelajar untuk menyerahkan semula rantai kunci
yang dibekalkan kepada pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) KMP.
“Proses kutipan balik selesai pada 1 Jun dan diserahkan kepada pembekal,” katanya.
Isu berkaitan lambang sebuah agama ini menjadi viral di laman sosial sejak petang kelmarin.
Sebelum ini, seorang pelajar yang enggan dikenali berkata, sewaktu
pihak kolej mengagihkan rantai kunci itu kepadanya dengan secara tidak
sengaja rantai kunci berkenaan terlepas dari tangan dan terjatuh.
“Tindakan spontan itu menyebabkan rantai berkenaan pecah dan saya terkejut melihat lambang berkenaan yang berada di dalamnya.
“Disebabkan itu, kebanyakan pelajar bertindak memecahkannya untuk
melihat jika mereka juga turut memiliki rantai kunci yang mempunyai
lambang serupa,” katanya.
Menurutnya, bagaimanapun pihak kolej sudah mengutip semua rantai kunci terbabit untuk diserahkan semula kepada pembekal.
Sumber: Sinar Harian
Sumber: Sinar Harian