Laporan Audit: JPS Kedah Disaran Sedia Jadual Pantau Berkala

ALOR SETAR - Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 2 mengesyorkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah meningkatkan pengawalan pencerobohan rizab sungai dengan menyediakan jadual pemantauan berkala berikutan terdapat kelemahan dalam program pemeliharaan dan pemuliharaan sungai.

Menurut laporan itu, JPS juga perlu menjalankan penguatkuasaan secara bersepadu dengan agensi kerajaan seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat Tanah, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kerja Raya.

Melalui pengauditan mulai Februari hingga Mac tahun ini, antara kelemahan tersebut ialah perakuan siap kerja dikeluarkan sebelum kerja disempurnakan dan pencerobohan terhadap rizab sungai.

Semakan audit mendapati kerja menanam rumput jenis cow gross secara close turf di sepanjang 840 meter dan kerja merata tapak, membekal dan memasang 'interlocking paver block' belum disempurnakan sepenuhnya.

Bagaimanapun, laporan siap kerja telah dikeluarkan pada 13 Disember 2014 dan bayaran telah disempurnakan secara berperingkat sebanyak dua kali, iaitu bayaran kemajuan pertama sejumlah RM319,272 pada 26 November 2014 dan bayaran kemajuan kedua sejumlah RM165,575 pada 18 Disember 2014.

Audit juga mendapati kawasan rizab sungai di Sungai Gelugor dan Sungai Petani bagi tebing kiri dan kanan masing-masing selebar dua meter dan 20 meter masih belum diwartakan.

Laporan audit itu turut mendedahkan empat pemohon di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Langkawi telah gagal menjelaskan bayaran hasil dan premium tanah berjumlah RM69.26 juta kerana masih menunggu keputusan sama ada rayuan pengurangan premium diluluskan dan syarat asal Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dikaji semula.

Mengikut Seksyen 10, Aturan Tanah Kedah 1966, bayaran hasil tanah hendaklah dijelaskan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh borang 5A dikeluarkan.

Empat pemohon itu ialah Perbadanan Menteri Besar, Litar Seni Sdn Bhd, Langkasuka Marina Sdn Bhd dan Majlis Perbandaran Langkawi.

Maklum balas PDT Langkawi bertarikh 26 April 2015, antara tindakan yang diambil kepada pemohon yang gagal menjelaskan bayaran Borang 5A adalah dengan mengadakan perbincangan berhubung jadual bayaran secara ansuran atau menghantar surat peringatan kegagalan bayaran, menurut laporan itu. - Bernama