Laporan Audit: Kurang Memuaskan, Kerajaan Pulau Pinang Perlu Pantau Syarikat Miliknya

GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP perlu memantau aktiviti syarikat miliknya bagi memastikan syarikat mewujudkan tadbir urus korporat yang baik, mematuhi undang-undang dan peraturan kerajaan, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 2.

Laporan yang dikeluarkan hari ini mendapati pengurusan kewangan, aktiviti dan tadbir urus korporat PIHH Development Sdn Bhd (PIHH) iaitu anak syarikat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) adalah di tahap kurang memuaskan.

Antara kelemahan yang dikesan ialah pembinaan kilang di Taman Perindustrian Halal Pulau Pinang (TPHPP) tidak dilaksana dalam tempoh yang ditetapkan; dan penganjuran Ekspo dan Persidangan Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEC) mencatat defisit pada tahun 2015.

“Pendapatan operasi syarikat adalah daripada penganjuran PIHEC dan pendapatan ini tidak dapat menampung perbelanjaan menyebabkan syarikat perlu bergantung kepada geran yang diterima daripada kerajaan negeri dan PDC,” kata laporan itu.

PIHH, yang beroperasi pada 11 Ogos 2008 dengan modal dibenarkan dan modal berbayar sejumlah RM1 juta ditubuhkan untuk mempromosi dan membangunkan industri halal di Pulau Pinang.

Laporan itu berkata selain itu, Projek Gelatin Halal melalui penubuhan PH Gelatine Pharmz Sdn Bhd (PHGP) sejak tahun 2011 juga belum dapat dilaksanakan.

Turut mendapat teguran Ketua Audit Negara ialah Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Jabatan Perhutanan Negeri.

Terdapat beberapa kelemahan dalam MPPP yang perlu dibuat penambahbaikan iaitu proses perolehan tidak mematuhi peraturan; prestasi projek kurang memuaskan; kerja tidak dilaksana mengikut spesifikasi, kualiti dan syarat; serta projek siap tidak digunakan.

Pengauditan yang dijalankan dari bulan Ogos hingga November 2014 mendapati kontraktor yang mempunyai prestasi kurang memuaskan masih dilantik bagi melaksanakan projek MPPP walaupun terdapat kelewatan dalam menyiapkan projek-projek terdahulu, katanya.

Laporan itu berkata semakan Audit terhadap 30 daripada 120 projek MPPP bagi tempoh 2012 hingga 2014 yang disiapkan dengan lanjutan masa mendapati empat projek lewat disiapkan dan antara sebab kelewatan ialah masalah di tapak pembinaan, perubahan pelan dan anggaran tempoh siap kontraktor yang dipilih tidak munasabah.

Bagi Jabatan Perhutanan Negeri pula, pengauditan yang dijalankan dari bulan Januari hingga Mac 2015 mendapati pada keseluruhannnya Pengurusan Pembangunan Sumber Ekopelancongan Hutan adalah memuaskan.

Bagaimanapun, terdapat beberapa kelemahan yang perlu diberi perhatian antaranya kemudahan yang disediakan tidak digunakan; kemudahan papan tanda tidak disediakan; penyenggaraan secara berkala tidak dilaksanakan; perkhidmatan Renjer Taman tidak diwujudkan; dan infrastruktur Desa Flora dan Fauna terbiar dan tidak digunakan, kata laporan itu. – BERNAMA