KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan
memanggil empat kementerian dan beberapa agensi kerajaan bagi memberi
penjelasan berhubung pelbagai isu berbangkit dalam Laporan Ketua Audit
Negara Tahun 2014 Siri 2.
Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata kementerian berkenaan
ialah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian
Pendidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Kewangan.
Katanya PAC juga akan memanggil 16 jabatan kerajaan pusat, 10 badan
berkanun dan 31 jabatan kerajaan negeri untuk tampil memberi penjelasan
berhubung laporan itu.
“Proses prosiding untuk Laporan AG (Ketua Audit Negara) Siri 2 2014
akan bermula pada bulan September ini,” katanya pada sidang media
selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di Bangunan Parlimen di sini,
Isnin.
Nur Jazlan berkata antara isu perlu diberi penjelasan oleh
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani termasuk projek
Pereplikasian Model (i-ZAQ) Akuakultur Bersepadu bernilai RM2.142 bilion
yang gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan.
“Selain itu, projek akuapenternakan di bawah pihak berkuasa
Pelaksanaan Koridor Utara bernilai RM79.6 juta juga perlu diberi
penjelasan berhubung pengurusan pentadbiran yang kurang memuaskan, serta
beberapa dokumen kontrak bernilai lebih RM100 juta telah diluluskan
oleh KSU (Ketua Setiausaha Kementerian) yang sepatutnya diluluskan oleh
menteri,” katanya.
Nur Jazlan berkata isu berkaitan dengan Kementerian Pendidikan pula
melibatkan kegagalan pentadbiran kewangan oleh tiga universiti awam yang
diberi autoriti penuh membabitkan Universiti Pertahanan Nasional
Malaysia (UPNM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi
Malaysia (UTM).
“Selain itu, pengurusan penyelenggaran kapal di Sabah oleh APMM
(Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) di bawah JPM serta pengurusan
rangkaian Hotel Seri Malaysia di bawah Kementerian Kewangan yang
didapati mempunyai pelbagai masalah pengurusan turut terlibat,” katanya.
Katanya Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan turut dipanggil bagi
memberi penjelasan berhubung kutipan hasil daripada syarikat-syarikat
yang disiasat akibat pelbagai masalah berkaitan.
Nur Jazlan berkata secara keseluruhannya laporan audit kali ini
kurang memuaskan kerana sesetengah kesalahan yang timbul daripada
beberapa kementerian itu sebenarnya boleh dielakkan.
Beliau juga menyeru PAC peringkat negeri memainkan peranan dalam
memanggil agensi kerajaan negeri yang didapati mempunyai masalah untuk
proses prosiding berhubung laporan audit ini. – BERNAMA