ALOR SETAR - Lebih 200 orang malim gunung dilaporkan menyertai misi mencari dan menyelamat
mangsa gempa bumi Gunung Kinabalu sepanjang tiga hari Ops Kinabalu
dilancarkan di Ranau, Sabah.
Pengerusi Malim Gunung Kinabalu, Richard Soibi berkata, beberapa
malim gunung sebelum ini turut tercedera dan maut akibat terkena runtuhan batu dalam
kejadian gempa bumi yang berlaku pada Jumaat lalu.
“Buat masa ini hampir semua malim gunung terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat.
“Dalam masa sama, mereka juga kehilangan punca pendapatan utama
memandangkan sebarang aktiviti rekreasi di Gunung Kinabalu dihentikan
serta merta sekurang-kurangnya bagi tempoh tiga minggu.
“Justeru, kami mengambil inisiatif mengaktifkan tabung khas bagi
membantu semua malim gunung berdaftar dan keluarga mangsa malim gunung
yang terkorban dalam bencana alam kali ini,” katanya kepada media, hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyampaikan sumbangan bagi
membantu malim Gunung Kinabalu boleh menyalurkan sumbangan wang menerusi
Bank CIMB di nombor akaun 8005609923 atas nama Persatuan Malim Gunung
Kinabalu. -Kedahnews.com