Kerja-kerja membersih dan mendalamkan parit di kampung berkenaan dilakukan bagi mengatasi masalah banjir kilat. |
POKOK SENA - Gara-gara air hujan melimpah masuk ke dalam rumah, seorang
lelaki sanggup meluah perasaan marahnya terhadap pengerusi Jawatankuasa
Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dekat sini dengan menunjukkan
kemaluannya.
Dalam kejadian jam 5 petang pada Ahad lalu, seorang lelaki berang
kerana kecewa dengan tindakan JKKK kampung itu yang dikatakan tidak
membuat sebarang tindakan selepas berlakunya banjir di kampung itu sejak
akhir-akhir ini.
Pengerusi JKKK yang tidak mahu dikenali itu berkata, dia kecewa dengan tindakan pemuda berkenaan.
Menurutnya, kejadian itu berlaku selepas pihaknya membuat rondaan
melawat kawasan banjir di kampung berkenaan ekoran hujan lebat selama
lima jam, baru-baru ini.
Katanya, masalah banjir kilat sering berlaku di kampung itu terutamanya
selepas hujan lebat beberapa jam. Sebelum ini, masalah berkenaan tidak
pernah berlaku tetapi sejak ada projek perumahan banjir kilat sering
berlaku.
“Sebelum ini, saya sudah beberapa kali membuat laporan kepada Pejabat
Daerah Pokok Sena dan penghulu di kawasan itu bagi menyelesaikan masalah
berkenaan tetapi sehingga sekarang belum ada sebarang tindakan.
"Sebagai JKKK saya hanya mampu menyampaikan masalah penduduk kepada
saluran tertentu dan tidak mampu untuk membiayainya sendiri," katanya.
Beliau berkata, diharap orang ramai akan memahami tugas JKKK sebagai
penyambung masalah rakyat dan bukan ditugaskan untuk menyelesaikan
masalah kerana ia memerlukan bantuan kewangan.
Tambahnya, tindakan lelaki itu yang menunjukkan kemaluannya serta
menengking pihaknya bukan teladan yang baik dan sangat memalukan apatah
lagi ramai yang berada di situ pada masa itu.
"Saya harap kejadian itu tidak berulang lagi dan jika ada yang tidak
puas hati boleh datang dan berbincang dengan pihak jawatankuasa
kampung,” katanya.
Katanya, ekoran kejadian itu, dia segera memaklumkan masalah berkenaan
kepada Umno Bahagian Pokok Sena dan Timbalan Pengerusi Umno, Datuk
Ariffin Man.
"Selepas itu, pihak berkenaan mengarahkan kerja-kerja membersihkan dan
mendalam parit sejauh satu kilometer dilakukan," katanya. -Sinar Harian