JOHOR BAHARU – Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah
Majistret di sini hari ini terhadap sembilan pertuduhan membabitkan
pemalsuan lesen memandu dan cukai jalan kenderaan, pada pertengahan
bulan ini.
Mohammad Toha Sujari, 59, didakwa memalsukan enam lesen memandu dan
tiga cukai kenderaan di rumahnya di Jalan Mawar 40, Taman Mawar, Pasir
Gudang, di sini, kira-kira 4 petang, 14 Jun lepas.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu dengan niat untuk tujuan penipuan iaitu menjadikan semua dokumen terbabit sebagai tulen.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang membawa
hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,
jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Dzul Iswari Mohd Jaafar menawarkan wang
jaminan RM30,000 bagi semua pertuduhan itu, namun, Mohammad Toha yang
tidak diwakili peguam, memohon jumlah itu dikurangkan.
Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Alias kemudian menetapkan wang jaminan
RM24,000 bagi kesemua pertuduhan terbabit dengan seorang penjamin dan
menetapkan 9 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi membolehkan
tertuduh melantik peguam. – BERNAMA