Gambar Hiasan |
KUALA LUMPUR – “Isteri untuk disayangi bukan untuk dipukul. Kalau tak
boleh sayang, lepaskan,” kata seorang majistret sebelum menjatuhkan
hukuman terhadap seorang pemandu teksi kerana memukul isterinya yang
enggan melakukan hubungan seks dengannya.
Majistret Nur A’minahtul Mardiah Md Nor menjatuhkan hukuman penjara
sebulan ke atas K. Tharmalingam, 42, selepas mengaku bersalah atas
pertuduhan mencederakan isterinya, T. Thangasamy, 38.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula semalam.
Tharmalingam didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di
Pangsapuri Kos Rendah Jalan Udang Harimau, Taman Megah Kepong, Sentul di
sini, pukul 3.30 petang 10 April lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa
hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau
kedua-duanya.
Menurut fakta kes, tertuduh telah memaksa isterinya melakukan
hubungan seks, tetapi wanita itu enggan lalu dipukul suaminya
menyebabkan mangsa cedera di beberapa bahagian badan.
Terdahulu, majistret menyoal tertuduh adakah dia memukul isterinya di
hadapan dua anaknya yang berusia 12 dan 13 tahun, tetapi tertuduh
menjawab “Tidak, anak-anak saya sedang tidur”.
Majistret kemudiannya menasihati tertuduh dan menyoalnya “Kenapa
pukul isteri awak, dia adalah ibu kepada anak-anak awak. Dia yang
melahirkan dua anak untuk awak.”
Isteri tertuduh turut hadir di mahkamah.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin memohon
mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran agar tertuduh tidak
lagi melakukan keganasan terhadap isterinya. – BERNAMA