KUALA LUMPUR – Gara-gara menunjukkan kemaluannya kepada seorang
wanita di tempat awam, seorang buruh dipenjara 14 hari dan denda RM3,000
oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Saifulakmal Said menjatuhi hukuman itu terhadap Mohd Ali
Tampil, 22, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja
menunjukkan kemaluannya kepada Maxine Ng Mei Cheng, 23, seorang pereka
grafik, di hadapan Berjaya Times Square, Jalan Imbi, Dang Wangi di sini,
pukul 7.40 malam, pada 1 Jun lepas.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang berasal dari Sabah itu
menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.
Dia tidak membayar denda tersebut.
Tertuduh yang tidak diwakili didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun
Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda
atau kedua-duanya.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian Mohd Ali mendekati Mei Cheng
yang ketika itu berseorangan menunggu sepupunya di perkarangan pusat
beli-belah itu dan bertindak menyentuh bahu mangsa tetapi tidak
dipedulikannya.
Setelah dia menyentuh bahu mangsa untuk kali kedua, wanita itu toleh
ke belakang dan melihat tertuduh senyum sambil menunjukkan kemaluannya.
Mangsa yang terperanjat terus melarikan diri dan orang ramai yang menyedari kejadian itu berjaya menangkap tertuduh.
Ketika rayuan, Mohd Ali memohon hukuman berbentuk denda atas alasan
dia mengalami tekanan perasaan di tempat kerja selain menyesal dan
memohon mahkamah memberi peluang kedua kepadanya untuk berubah.
Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abd Razak memohon mahkamah
mengenakan hukuman penjara dan denda dengan mengambil kira tindakan
tertuduh telah menyebabkan mangsa mengalami trauma.
Beliau berkata, faktor tekanan perasaan yang dihadapi tertuduh bukan alasan untuk dirinya melakukan kesalahan itu.
“Tertuduh juga telah melakukan kesalahan itu di kawasan awam (Berjaya
Times Square) dan tindakan tertuduh boleh menjejaskan imej negara di
mata pelancong,” katanya.
Sebelum menjatuhi hukuman, Saifulakmal menegaskan mahkamah mengambil
kira bahawa tertuduh telah melakukan kesalahan serius iaitu jenayah
seksual.
“Kamu (tertuduh) senyum dan kemudian menunjukkan kemaluan kamu. Tak
sepatutnya kamu tunjukkan kemaluan. Dah itu nama pun kemaluan,” katanya.
– BERNAMA