Lepas Nik Abduh, Wanita PKR Tuduh Bung Mokhtar Pula Hina Wanita

ALOR SETAR - Selepas Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh dituduh pemimpin Wanita PKR, Kasthuri Patto sebagai menghina golongan Hawa, kini giliran Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar Radin pula dituduh sedemikian.

Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin hari ini menuduh Bung Mokhtar "menghina kaum wanita" di Dewan Rakyat meskipun Ahli Parlimen Kinabatangan itu hanya menegur sikapnya yang dianggap "menakutkan".

Zuraidah selain itu turut mendakwa Bung Mokhtar secara jelas mengeluarkan kenyataan yang berbentuk seksis terhadapnya.

Bung Mokhtar pada 9 Jun di Persidangan Dewan Rakyat sewaktu berbahas telah mengeluarkan kenyataan, "Saya bimbang, saya tengok laki dia di rumah takut macam ini keadaan", yang dianggap Zuraidah sebagai tidak wajar.

"....ia secara tidak langsung telah menyalahi peraturan mesyuarat Dewan Rakyat 37(4) kerana telah menyentuh peribadi dan mengeluarkan kenyataan bersifat seksis," katanya kepada media dalam satu sidang media di lobi parlimen yang dipetik dari Sinar Harian, hari ini.


Kisah 9 Jun lalu tidak lagi berkesudahan apabila Zuraidah membangkitkan isu tersebut di Parlimen pada hari ini dan Bung sekali lagi mempertahankan tindakannya dengan menyatakan bahawa ia hanyalah merupakan suatu bentuk teguran kerana ucapan Zuraida terlalu "ganas" baginya.

"Saya ikhlas menegur, kerana lelaki dia menderita perangai dia macam tu," ujar Bung Mokhtar di dalam Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Bung turut memberikan contoh bahawa kritikannya terhadap Zuraida adalah biasa dan menyatakan bahawa Zuraida sebelum ini dikatakan sering dilihat sebagai seorang wanita yang "menakutkan" oleh warga netizen sebelum ini.

"Ada orang cakap di laman sosial wajah Zuraida macam 'mak lampir'," kata Bung Mokhtar.

Bagaimanapun, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee melepaskan Bung dari tindakan tatatertib Dewan Rakyat berdasarkan niat Ahli Parlimen Kinabatangan itu hanyalah niat ingin menegur sikap Zuraidah yang dikatakan sebagai "menakutkan". -Kedahnews.com