Boleh digulung seperti kertas |
SEOUL — Setelah berjaya memperkenalkan model televisyen paling nipis di dunia yang boleh dilekatkan di permukaan dinding macam wallpaper bulan lalu, kali ini LG bakal muncul dengan model yang lebih canggih.
Firma gergasi elektronik Korea Selatan itu dilapor akan mempamerkan
set televisyen saiz kecil dengan skrin boleh digulung sehingga ukur
lilit 3 sentimeter seumpama kertas tanpa menjejaskan langsung kualiti
lapisan layar.
Ia masih lagi mengguna pakai teknologi televisyen keluaran LG sebelum ini iaitu OLED atau organic light-emitting diode yang dahulunya seumpama kertas dinding untuk ditampal pada ruang permukaan dinding rumah
Kini teknologi OLED ini diubah suai agar boleh digulung, namun buat
permulaan LG hanya mencipta skrin kecil berukuran 18 inci sebelum
meningkatkan saiz TV super-tipis itu sehingga lebih 60 inci menjelang
tahun 2017.
Prototaip model paling canggih tersebut yang ideanya sudah didedahkan
kepada umum sejak tahun lalu; bakal dipamerkan menerusi persidangan Society for Information Display 2015 di Amerika Syarikat pada Ahad ini.
OLED dijangka menjadi model televisyen masa depan dan bulan lalu, LG
melancarkan beberapa model yang menggunakan teknologi ini dengan
saiz ukuran 55 inci yang tebalnya pula kurang daripada 1 milimeter.
Layar OLED menghasilkan cahaya sendiri sehingga tidak memerlukan bantuan backlight atau cahaya belakang seperti model televisyen skrin rata biasa sekali gus membolehkan LG menghasilkan televisyen super-tipis.
Setakat ini jenama elektronik besar seperti Samsung dan Sony juga
telah menghasilkan TV skrin OLED namun, jumlah pengeluaran mereka pada
waktu ini masih rendah menyebabkan harga produk menjadi relatif mahal.
Harga TV OLED 65 inci keluaran LG, misalnya mencecah AS$9,000
(RM33,300) tetapi syarikat itu yakin dengan masa depan teknologi
tersebut sejajar dengan kecanggihan industri penyiaran dunia. — Agensi