Artis grafiti, Zulfadli Ahmad Nawawi, 29, (kiri) menyiapkan lukisan mural bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad sempena Festival Lagenda Kedah di Jalan Pekan Melayu. - Foto BERNAMA |
ALOR SETAR – Menelusuri perjalanan di sepanjang Pekan Cina serta
Pekan Melayu yang hanya dibahagikan satu jalan utama di Bandaraya Alor
Setar dan mempunyai deretan bangunan lama kini lebih menarik dengan
adanya lukisan mural bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Lukisan mural tersebut, yang terletak di Jalan Pekan Melayu di sini,
siap semalam (6 Jun), merupakan usaha kerajaan negeri bersempena majlis
pelancaran Bulan Pelancongan Legenda Kedah, di Tanjung Chali, semalam.
Memaparkan anak jati Kedah itu berbaju Melayu dan bersongkok hitam
tersenyum di sebuah dinding bangunan dua tingkat, dengan kelebaran 100
kaki (30.48 meter), lukisan mural itu dilihat mampu menghidupkan lorong
di pekan tersebut.
Di sebelahnya pula, kelihatan lukisan Menara Berkembar Petronas dan kereta pertama keluaran Malaysia, iaitu Proton Saga, yang kedua-duanya menjadi antara ikon kepada Bapa Pemodenan Malaysia itu.
Pengurus Projek, Mustakim Ismail, 24, dari Medium Touch, Kuala Lumpur
berkata beliau dan dua lagi pelukis, Abdul Qoyyum Mohd Nadzri 22, dan
Mohd Zulfadli Ahmad Nawawi, 29, mula membuat lakaran itu pada 1 Jun
lepas dan siap sepenuhnya semalam.
Beliau memberitahu Bernama pemilihan Dr Mahathir dalam lukisan mural
itu dibuat hasil perbincangan pihak beliau dengan kerajaan negeri Kedah.
Menceritakan proses penghasilan lukisan mural berkenaan, Mustakim
berkata dengan menggunakan gambar sebenar yang dirakam jurugambar
MalaysiaKini, Lim Huey Teng, mereka memulakan kerja dengan melakukan
lakaran asas dinding.
“Selepas itu kami mulakan proses mewarna lapisan demi lapisan, lakar terus warna menggunakan cat semburan,” katanya.
Sentuhan terakhir dibuat dengan memperbetulkan dan memperkemaskan lukisan bagi memastikan tidak ada kecacatan.
Jelasnya operasi tersebut turut dibantu dengan penggunaan perancah
dan skylift untuk para pelukis, disediakan khas kerajaan negeri.
Lukisan mural itu, katanya, menggunakan hampir 100 tin montana gold
spray paint dan Dulux Weathershield yang dibawa dari Kuala Lumpur.
Mustakim berkata lukisan mural itu mampu bertahan lama,
sekurang-kurangnya 10 tahun tanpa perlu dicat semula memandangkan ia
menggunakan cat yang tidak mudah luntur dan tahan kepada pelbagai
keadaan cuaca.
Katanya tugas menyiapkan lukisan mural itu bukanlah mudah, mereka
perlu berhadapan keadaan cuaca yang tidak menentu, seperti panas
melampau dan hujan serta kilat.
“Kami target lima hari, tapi ada masa tu hujan lebat dan kilat. Ada
satu hari tu menyebabkan kami tak boleh nak buat kerja sebab risiko
bahaya,” katanya. – BERNAMA