ALOR SETAR – Seorang penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) ditemui
lemas ketika menyertai satu program di kolam renang universiti
tersebut, kelmarin.
Difahamkan, kejadian itu dipercayai berlaku apabila mangsa, Muhammad
Amirul Ikhwan Zulkipli, 21, terlepas genggaman tali ketika berada pada
kedalaman 4 meter.
Mangsa yang berasal dari Kelantan itu merupakan penuntut di semester empat, Jurusan Pengurusan Pengeluaran dan Operasi.
Saksi kejadian, Kamal Hosny Md Isa, 21, berkata, kejadian berlaku
kira-kira jam 3.30 petang ketika dia bersama 30 pelajar lain dari
pelbagai jurusan menghadiri Program Santai Sunnah dan Berenang.
“Waktu itu, saya dan Ikhwan berada dalam kawasan cetek. Tiba-tiba saya ternampak dia terjatuh ke hadapan.
“Saya dan rakan-rakan lain cuba mengangkat dia ke atas serta memberi pertolongan cemas,” katanya.
Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke Pusat Kesihatan UUM tapi disahkan telah meninggal dunia oleh doktor.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah mengesahkan kejadian.
“Siasatan awal mendapati mangsa tidak pandai berenang dan terdapat jurulatih renang menyelia kawasan tersebut.
“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Jitra untuk bedah siasat dan disahkan meninggal dunia akibat lemas,” katanya. – Sinar Harian