Mahfuz Masih Tunggu Surat Lantikan

Ahli Parlimen (PAS) Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar
ALOR SETAR - Ahli Parlimen (PAS) Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dilaporkan masih lagi menunggu surat lantikan dari PAS Pusat setelah tewas bertanding bagi jawatan Naib Presiden parti itu dalam pemilihan parti tersebut baru-baru ini.

Beliau turut enggan memberi sebarang komen berhubung kedudukannya di dalam parti itu selain menegaskan akan memberi khidmat sebagai ahli parlimen bagi kawasan yang dimenanginya pada PRU ke-13 yang lalu.

"Kita tunggu surat lantikan tersebut dahulu, lepas itu baru boleh komen. Buat masa ini saya tidak mahu komen apa-apa, saya tidak tahu apa-apa.

"Saya masih Ahli Parlimen Pokok Sena sehingga ke Pilihan Raya Umum akan datang. Khidmat saya terhadap Pas akan diteruskan menerusi saluran tersebut," kata bekas Ketua Penerangan PAS itu yang dipetik dari sebuah portal.

Bagaimanapun, bekas Pesuruhjaya PAS Kedah itu memaklumkan beliau masih belum dihubungi atau menerima sebarang makluman hingga kini dari ibu pejabat PAS yang berpengkalan di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

"Setakat ini tidak ada apa-apa lagi. Mereka pun masih tak (tidak) hubungi saya," jelasnya lagi.

Mahfuz tewas bertanding jawatan Naib Presiden dan pengumuman terbaru dari PAS menyaksikan nama beliau turut digugurkan dari terus menyandang jawatan Pesuruhjaya PAS Kedah dan digantikan dengan Adun (PAS) Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah.

Pas pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Pusat Pas pada 10 Jun lalu, PAS mengesahkan akan  melantik beberapa pemimpin parti itu bagi mengisi jawatan dalam lantikan lajnah dan jawatankuasa tambahan yang diperuntukkan dalam Pas. -Kedahnews.com