Datuk Seri Dr S. Subramaniam |
SEREMBAN – Pemangku Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata
beliau memberi tumpuan untuk menyelesaikan proses pemilihan semula
parti secepat mungkin bagi membolehkan parti itu kembali kepada keadaan
sedia kala.
"Oleh itu, MIC kini memberi keutamaan untuk menyelesaikan proses
pemilihan semula parti sebelum Oktober ini.
"Kita mahu menyelesaikan
krisis dalaman parti dan seterusnya memulihkan kembali keadaan parti
seperti sedia kala,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program
MySihat di SJK(T) Rantau dekat sini, hari ini.
Katanya apa yang berlaku sepanjang satu tahun setengah ini telah mengganggu parti menyebabkannya tidak bergerak langsung.
“Kita tidak boleh di dalam keadaan yang sama dalam satu jangka masa
yang lama kerana ini akan memberi kesan ke atas parti dan masyarakat
pada keseluruhannya.
“Selain itu, ia turut memberi kesan terhadap pencapaian kita pada
pilihan raya umum akan datang. Memandangkan UMNO telah mempunyai
keputusan untuk menangguhkan pemilihan selama 18 bulan dan jika ini
telah ditetapkan, kita kena bersedia,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan berkata ketua-ketua cawangan dan
pemimpin MIC di peringkat akar umbi perlu memahami perkara ini untuk
sama-sama memulihkan parti agar ia boleh berfungsi dengan segera.
“Kalau kita tidak berbuat demikian maka kita akan menghadapi masalah
serius. Itu yang paling penting dan itu tanggungjawab saya untuk membawa
parti kepada keadaan biasa,” katanya. – BERNAMA