MARA Perkenal Tiga Pembiayaan Pelajaran Baru Ke IPT

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Tan Sri Annuar Musa ketika sidang media mengenai dasar baharu pembiayaan pelajaran MARA 2015 di Ibu Pejabat MARA hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR – MARA melancarkan tiga pembiayaan baharu untuk terus membantu pelajar tempatan khususnya Bumiputera yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa, berkata antara inisiatif itu, iaitu Skim Program Lepasan Ijazah dan Profesional atau Skim Tiga adalah hasil kerjasama dengan dua institusi kewangan bagi menambah dana bantuan yang diberikan.

Katanya, dua program lain iaitu Skim Pelajar Cemerlang (Skim Satu) dan Program Sarjana Muda Tempatan (Skim Dua) adalah lanjutan daripada program sedia ada, namun diberi penambahbaikan bagi memenuhi kehendak dan keperluan tenaga profesional semasa.

“Setakat ini, MARA sudah mendapat persetujuan dan kerjasama daripada Bank Rakyat dan Maybank bagi menjayakan program Skim 3 dan pelajar boleh mula memohon bermula 1 Julai.

“Pembabitan kedua-dua institusi perbankan itu membawa penambahan dana pembiayaan MARA hingga RM500 juta sekali gus mampu menampung permohonan baharu serta masalah yang dihadapi pelajar yang sudah mendapat permohonan sebelum ini,” katanya dalam sidang media di Bangunan MARA, di sini, hari ini. – BHarian