MARA Serah Dokumen Beli Pangsapuri Di Australia Kepada SPRM

Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa
PUTRAJAYA – Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa tampil sendiri menyerahkan beberapa dokumen penting kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini tengah hari tadi.

Tindakan tersebut berhubung isu pembelian sebuah blok pangsapuri sebagai asrama penuntut tajaannya yang belajar di Melbourne, Australia oleh sebuah agensi di bawahnya, Mara Incorporated Sdn. Bhd.

Annuar tiba di perkarangan ibu pejabat SPRM kira-kira pukul 12.10 tengah hari bagi menyerahkan beberapa dokumen berkaitan kepada Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd. Jamidan Abdullah.

Akhbar Australia baru-baru ini melaporkan Mara Inc. membeli hartanah Dudley International House itu pada 2012 dengan terlebih bayar daripada nilai kadar pasaran semasa kononnya sebagai caj perkhidmatan.

Susulan itu, Annuar mengarahkan Mara Inc. membuat penjelasan dalam masa tujuh hari dan sedia menghukum mana-mana pegawai yang didapati sengaja memanipulasi harga menerusi proses transaksi jual beli tersebut.

“Beberapa dokumen sudah diserahkan untuk memudahkan siasatan SPRM. Pada masa sama, kami minta SPRM menyegerakan siasatan dan beri keutamaan terhadap isu ini, malah Mara akan memberi kerjasama sepenuhnya.

“Selain proses audit dalaman yang dilakukan sendiri oleh Mara, kita juga akan melantik satu lagi juruaudit bebas antarabangsa supaya hasil siasatan itu nanti lebih jelas berkredibiliti,” kata Annuar.

“Audit dalaman tidak memadai… walaupun SPRM menjalankan tugas ikut kaedah dan peraturan tertentu tetapi dari segi kita, kita mesti melihat juga audit pengurusan untuk diperkemaskan pada masa akan datang,” jelasnya.

Ditanya sama ada pihaknya sudah mengenal pasti dalang di sebalik kes itu, Annuar hanya berkata: “More or less“.

Berkenaan tindakan yang akan dikenakan kepada pegawai disyaki terlibat,  beliau berkata ia masih lagi tertakluk kepada kuasa Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Bagaimanapun, katanya, perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Mara pada 1 Julai ini.

Mengulas mengenai kenyataannya berhubung kelulusan pembelian hartanah itu yang diputar belit oleh sesetengah media, Annuar berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak meluluskan pembelian itu pada 10 Mei.

“Kemudian Mara dan kementerian bawa rayuan kepada Majlis Ekonomi untuk dibincangkan kerana melibatkan pinjaman luar negara dan (Majlis Ekonomi) luluskan hanya 30 peratus dana Mara digunakan untuk pembelian itu. Bakinya dipinjam daripada bank luar negara,” jelasnya.

Dua hari lepas, Najib meluahkan kekecewaannya apabila kenyataan Annuar berhubung pembelian hartanah di Melbourne itu diputar belit oleh sesetengah media sambil menjelaskan keputusan mengenai pembelian hartanah itu dibuat secara konsensus oleh Majlis Ekonomi.

Najib berkata sekiranya ada pihak yang didapati menipu atau cuba memperdaya ahli-ahli mesyuarat Majlis Ekonomi dengan butiran yang tidak tepat atau lengkap, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Sementara itu, menerusi kenyataan hari ini, Mohd. Jamidan memaklumkan telah menghantar pegawainya ke Melbourne untuk mendapatkan dokumen dan maklumat yang boleh membantu siasatan.

“SPRM telah memanggil beberapa individu dan akan memanggil lagi individu lain yang ada kaitan dengan isu ini untuk diambil keterangan. Sehubungan itu, mana-mana pihak yang ada maklumat dan bukti boleh juga menyalurkan kepada SPRM,” katanya.

Terdahulu, Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) melalui Ketua Wira Perkasa Irwan Fahmi Ideris turut membuat laporan kepada SPRM supaya siasatan menyeluruh dibuat terhadap kes itu demi kepentingan Mara sebagai institusi yang banyak berjasa kepada golongan bumiputera.

Akhbar Australia, The Age melaporkan seorang pegawai tinggi Mara, seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik didakwa membelanjakan berjuta-juta dana kerajaan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne dalam penipuan hartanah.

Akhbar itu mendakwa ‘sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya’ terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandar raya itu pada 2013.

Ketiga-tiga pegawai itu didakwa ‘membida lebih tinggi’ bagi bangunan itu dikenali ‘Dudley International House’, daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dengan wang perbezaan itu dijadikan sebagai rasuah di tanah air.

Dudley International House merupakan asrama pelajar, dibeli oleh Mara yang menyediakan biasiswa pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di luar negara.

Bangunan Dudley International House setinggi lima tingkat di subbandar East Caulfield menempatkan 115 pelajar Mara di Monash University. – Agensi