MARA Sudah Minta SPRM Siasat Hartanah Di UK Sebelum Rafizi

Pengerusi Majlis Amanah Raya (MARA), Tan Sri Annuar Musa
ALOR SETAR – Pengurusan Majlis Amanah Raya (MARA) hari ini turut meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat urusan pembelian hartanah di United Kingdom (UK) melibatkan agensi berkenaan.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, MARA meminta SPRM menyiasat semua pembelian aset luar negara oleh MARA bagi memastikan siasatan menyeluruh di dalam sebarang urusniaga dilakukan ke atas perkara tersebut.

“MARA meminta SPRM menyiasat semua pembelian aset luar negara, bukan saja di Australia tapi juga di UK. Penyiasatan harus menyeluruh ke akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, Annuar menegaskan bahawa maklumat yang kononnya didedahkan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Razifi Ramli semalam berhubung pemilikan tiga lagi hartanah oleh Mara di Australia sebenarnya telah pun dimaklumkan kepada SPRM.

Justeru, beliau menyifatkan tindakan Rafizi mendedahkan maklumat berkaitan kes yang sedang disiasat oleh SPRM itu sebagai langsung tidak membantu.

“Maklumat yang diberi oleh Rafizi tidak banyak membantu kerana semua itu sudah terlebih awal diserah oleh Mara kepada SPRM,” katanya.

Rafizi semalam mendedahkan terdapat tiga lagi hartanah yang didakwa dibeli oleh anak syarikat MARA, Mara Incorporated Sdn Bhd di Melbourne.

Dakwanya, dokumen dalaman MARA berbentuk taklimat kepada Annuar menunjukkan MARA Inc mempunyai pegangan penuh tiga lagi hartanah iaitu 746 Swanston Street, 333 Exhibition Street dan 51 Queen Street. -Kedahnews.com