Diego Armando Maradona |
MONTEVIDEO – Legenda bola sepak
antarabangsa dari Argentina, Diego Armando Maradona Franco atau lebih
dikenali sebagai Maradona akhirnya memutuskan untuk bertanding sebagai
calon Presiden FIFA.
Perkara yang cukup mengejutkan dunia sukan itu
disahkan oleh seorang wartawan tempatan dari Uruguay, Victor Hugo
Morales dan turut dipetik menerusi laporan agensi berita antarabangsa, Reuters pada Selasa.
Beliau berkata Maradona memberitahu demikian kepada
beliau ketika ditemui secara eksklusif pada hari Ahad lalu, namun
Morales tidak pula menjelaskan secara terperinci mengenai berita
tersebut.
Maradona yang berusia 54 tahun memang sudah lama
mengkritik corak pentadbiran Presiden Persekutuan Bola Sepak
Antarabangsa sebelum ini, Joseph Sepp Blatter, warga Switzerland berumur
79 tahun.
Malah pada bulan lalu, Maradona
menegaskan bahawa skandal rasuah yang membelenggu FIFA sejak sekian lama
telah mendorong Blatter mengumumkan sendiri peletakan jawatan secara
drastik pada 2 Jun lepas.
Padahal Blatter baharu sahaja dipilih
buat penggal kelima sebagai ketua badan induk bola sepak dunia itu sejak
menerajui FIFA pada 1998, di sebalik kritikan mengenai usia beliau yang
dikatakan terlalu tua.
Maradona yang pernah menjadi jurulatih
kebangsaan Argentina mulai terkenal ketika bermain membantu negara
Amerika Latin itu menjulang Piala Dunia 1986 di Mexico menewaskan
pasukan Jerman Barat.
Beliau yang menjadi pemain bola sepak
profesional sejak 1968 bahkan pernah datang ke Kuala Lumpur, Malaysia
untuk merasmikan sebuah cawangan kedai emas dengan rakannya. - Agensi