Maritim Tahan 5 Nelayan Ceroboh Kawasan Larangan Di Kedah

ALOR SETAR - Lima nelayan menggunakan bot kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pangkalan Maritim Kuala Kedah Wilayah Maritim Utara ketika menangkap ikan di kawasan larangan, di bawah 12 batu nautika, kelmarin.
Ketua Penguatkuasa Pangkalan Maritim Kuala Kedah, Leftenan Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata, bot dinaiki lima lelaki berusia antara 36 hingga 42 tahun itu ditahan di empat batu nautika dari pantai Kuala Sala, Kuala Kedah kira-kira jam 5.30 pagi.
Menurutnya, bot ronda Maritim mula mengesan bot berkenaan kira-kira jam 5.25 pagi dan berjaya ditahan lima minit kemudian.
“Hasil pemeriksaan lanjut, lima nelayan yang sedang memukat ikan dalam kawasan larangan ditahan.
“Menjadi satu kesalahan bagi mana-mana bot nelayan tempatan kelas C menunda pukat di bawah 12 batu nautika dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan kompaun di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, kelmarin.
Beliau berkata, bot nelayan itu kemudiannya diiringi ke Pangkalan Maritim Kuala Kedah untuk siasatan dan pendakwaan.
“Kita serius dalam usaha membanteras aktiviti nelayan yang melanggar Undang-undang Maritim Malaysia," katanya.

Sumber: Sinar Harian