SEPANG – Penerbangan Malaysia (MAS) telah menghantar surat penamatan
perkhidmatan kepada 20,000 kakitangannya pada Isnin dan daripada jumlah
itu kontrak 6,000 pekerja akan ditamatkan manakala 14,000 lagi
ditawarkan bekerja dengan syarikat baharu Malaysia Airlines Bhd group
(MAS Bhd).
MAS akan kekal sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh dan
bukan sebagai syarikat penerbangan serantau. Ia juga akan mengekalkan
semua laluan domestiknya.
MAS Bhd akan dibahagikan kepada tiga divisyen iaitu operasi, fungsi
sokongan dan pembangunan dan pelajaran menerusi 12 anak syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Christoph Mueller dalam taklimat pada
Isnin berkata, divisyen operasi turut membabitkan MAS Wings, Firefly dan
MAS Kargo.
Di bawah divisyen fungsi sokongan, terdapat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih, MAS Holiday dan Enrich.
Bagi divisyen pembangunan dan pembelajaran, ia melibatkan Akademi
Penerbangan Malaysia, latihan kejuruteraan, latihan penerbangan dan
laithan operasi.
MAS Bhd mencatatkan jualan sejuta tiket penerbangan setakat ini.
Di bawah tiga fasa pemulihan syarikat penerbangan itu, peringkat
pertama akan mulai 2015 sehingga 2017/2018 dengan perkembangan dijangka
bermula pada 2017/2018. – mStar