Ishak (kanan) bersama Mohd Shahrir (kiri) memeriksa sumbangan barangan keperluan untuk diagihkan kepada pelarian Rohingya. |
ALOR SETAR - Pelaksanaan sistem Outsourcing yang dibekukan sejak tiga
tahun lalu perlu dikaji semula bagi membendung kemasukan pendatang asing
tanpa izin (Pati) secara berleluasa ke negara ini.
Timbalan Presiden 1 Persatuan Pembekal dan Pengurusan Tenaga Kerja
Asing Malaysia (Tekam), Ishak Kamarudin berkata, mereka yakin sistem itu
mampu menjadi alternatif terbaik untuk membantu kerajaan menurunkan
statistik bilangan Pati sedia ada.
Menurutnya, sistem itu mula diperkenalkan kerajaan pada 2005 namun
disebabkan berlaku beberapa masalah, satu keputusan diambil pada 2010
untuk membekukan sementara pengambilan pekerja asing dengan izin (Padi)
yang mula dilaksanakan pada 2012.
“Beberapa punca pembekuan dilaksanakan antaranya syarikat yang
mengendalikan sistem Outsourcing didakwa melakukan pemerdagangan orang,
dituduh menjadi penyebab lambakan pekerja asing, tidak bertanggungjawab
terhadap Padi serta sistem Outsourcing indeks dipantau Amerika Syarikat
jatuh dari ‘Tier 2’ ke ‘Tier 3’.
“Walaupun kerap kali menafikan perkara ini berlaku namun, dari segi
pandangan orang awam kami tetap bersalah,” katanya selepas menyerahkan
sumbangan barangan keperluan asas bernilai RM15,000 kepada pelarian
Rohingya, di pejabat Imigresen Kedah, di sini, semalam.
Hadir sama, Penolong Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Shahrir Khalil.
Menurutnya, tujuan utama sistem itu diperkenalkan untuk membantu
pengusaha bumiputera melebarkan peluang perniagaan dalam bidang sumber
manusia.
“Sistem berkenaan juga banyak diguna pakai di negara maju seperti
Jepun, Taiwan, Korea, Singapura dan Malaysia sendiri turut melakukan
kajian sebelum mempraktikkannya di sini.
“Kelebihan utama sistem ini membantu memudahkan proses membekalkan
tenaga pekerja asing dalam pelbagai sektor kerana diuruskan syarikat
mahir contohnya sektor perindustrian kilang memerlukan tenaga kerja
cukup menghasilkan pengeluaran produk,” katanya.
Beliau berkata, tindakan pembekuan sementara itu juga sebenarnya turut
menimbulkan beberapa masalah lain yang perlu diatasi segera.
Sumber: Sinar Harian