Masalah Serius Yang Perlu Diselesai ASEAN - Mukhriz Mahathir

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir ketika hadir menyaksikan 21 jenazah mangsa pemerdagangan manusia dikebumikan semula di Kampung Tualang, Pokok Sena, semalam
POKOK SENA – Pengebumian 21 jenazah mangsa pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma, Wang Kelian hari ini merupakan bukti jelas jenayah itu merupakan masalah yang serius dan perlu ditangani, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

“Kita berharap dengan pengebumian hari ini akan menyebabkan negara-negara ASEAN berusaha mencari penyelesaian berpanjangan terhadap isu ini (jenayah pemerdagangan manusia),” katanya kepada pemberita selepas majlis tahlil yang diadakan sempena pengebumian jenazah mangsa di Kampung Tualang.

Kesemua 21 jenazah itu, 19 lelaki dan dua wanita mangsa jenayah pemerdagangan manusia di Wang Kelian dikebumikan di tanah perkuburan khairiah Kampung Tualang di sini, semalam.

Menurut Mukhriz, baki 85 jenazah yang lain akan dikebumikan secara berperingkat selepas proses bedah siasat selesai, dengan kumpulan kedua 28 jenazah mangsa bakal dikebumikan 29 Jun ini di lokasi sama.

Menteri Besar Kedah itu juga mahukan kawalan keselamatan di sempadan negara dan Thailand diperketatkan supaya ia tidak mudah dibolosi oleh mana-mana pihak termasuk oleh sindiket pemerdagangan manusia.

Mengenai punca kematian mangsa jenayah pemerdagangan manusia itu, Mukhriz berkata, setakat ini punca yang dikenal pasti hasil proses bedah siasat adalah kekurangan makanan dan penyakit.

“Bagaimanapun, jika mereka (mangsa) dikurung tanpa diberi sebarang makanan, itu juga adalah pembunuhan,” katanya dan menambah, apa yang berlaku adalah sesuatu yang amat mendukacitakan.

Beliau tidak dapat membayangkan situasi yang dialami oleh mangsa terbabit sebelum mereka menemui ajal di kem-kem transit yang didirikan di Bukit Wang Burma, Wang Kelian.

Proses bedah siasat dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Mukhriz berkata negara ASEAN terutamanya Myanmar, perlu memainkan peranan untuk mengurangkan atau menghentikan masalah migrasi penduduk ini.

Katanya, kerajaan dan Wisma Putra perlu memikirkan tentang cadangan supaya Myanmar dikenakan tindakan berhubung isu migrasi penduduknya yang berbangsa Rohingya. – BERNAMA