Masjid Sultanah Bahiyah |
ALOR SETAR - Biarpun Masjid Sultanah Bahiyah berkonsepkan terbuka tanpa
dinding dan pintu, namun jemaah dari serata tempat tidak putus-putus
singgah mengimarahkan masjid itu.
Dibina pada 1982, Masjid Sultanah Bahiyah terletak berhampiran Taman
Golf dan Taman Seri Taman, Jalan Sultanah Bahiyah, di sini, sememangnya
mencuri tumpuan umum.
Difahamkan, masjid berkenaan dinamakan bersempena nama Sultanah Kedah, Almarhum Sultanah Bahiyah Tuanku Abdul Rahman.
Tiada maklumat lengkap sejarah masjid, oleh itu ahli jawatankuasa (AJK)
masjid dalam proses mengumpulkan maklumat terperinci mengenai sejarah
pembinaannya untuk dibukukan.
Seni bina unik
Seni bina unik
Tatkala menjejakkan kaki ke masjid, penulis terus terpegun melihat
keunikan seni bina dimiliki rumah ibadat berusia 33 tahun melalui
pembiayaan Yayasan Sultanah Bahiyah ini.
Menjejaki anak tangga, penulis dapat melihat seni bina rumah ibadat
tanpa dinding yang mampu menutup atau memberi perlindungan kepada
peralatan dalam masjid itu.
Lebih menghairankan, ada lebih 50 bahagian pintu ataupun tingkap
terbuka, sekali gus membolehkan jemaah melihat panorama sekelilingi
masjid dengan jelas.
Difahamkan, masjid dilengkapi menara berketinggian 100 meter (m)
berkenaan mampu memuatkan lebih kurang 1,000 jemaah dalam satu-satu
masa.
Masjid berkenaan turut dikelilingi kemudahan seperti pusat pembangunan
Islam, pusat dakwah, rumah musafir, tempat wuduk, pejabat, kedai dan
Dewan Masjid Sultanah Bahiyah.
Malah, Masjid Sultanah Bahiyah antara satu-satunya rumah ibadat di
tengah bandar Alor Setar menyediakan tempat penginapan kepada musafir
pada kadar murah.
Jemaah selesa tanpa dinding
Jemaah selesa tanpa dinding
Siak masjid, Hashim Kasa berkata, konsep dinding terbuka diamalkan
mereka digemari kerana memudahkan jemaah mengimarahkan masjid pada
bila-bila masa sahaja.
“Jadi, orang awam ataupun musafir boleh singgah di masjid ini tanpa
mengira masa. Malah, kebanyakan mereka selesa beribadat tanpa gangguan
atau halangan.
“Kebanyakan jemaah tetap berasa selamat singgah beribadat ataupun
berehat di masjid ini, meskipun ia tanpa dinding seperti mana rumah
ibadat lain,” katanya.
Katanya, walaupun masjid tidak berpintu, ia sentiasa menerima tetamu
namun kes kecurian membabitkan kelengkapan masjid jarang berlaku.
“Ada sekali, seorang lelaki menyamar sebagai jemaah wanita cuba mencuri
kira-kira dua tahun lalu, namun kini kes sedemikian tidak berlaku
lagi,” katanya.
Lagipun, Hashim berkata, dia kerap melakukan pemeriksaan di masjid
berkenaan, malah ada jemaah sering beribadat sehingga waktu pagi di sini
memantau kawasan masjid.
Cumanya, Hashim berkata, dia perlu membersihkan lantai masjid kerap
untuk keselesaan jemaah beribadat disebabkan ia sering dimasuki habuk
ketika cuaca kemarau.
Dinding terbuka bakal ditutup?
Dinding terbuka bakal ditutup?
Tidak dinafikan, menurut bendahari masjid, Mat Ishak Awang Mustafa, ada individu tertentu sedia menyumbangkan wang demi pembangunan masjid berkenaan.
Disebabkan itu, katanya, mereka bersepakat untuk memasang penghawa
dingin menggunakan wang sumbangan berkenaan demi keselesaan jemaah.
Jikalau sebelum ini, kebanyakan AJK masjid menolak cadangan menutup
dinding masjid memandangkan mereka lebih selesa dengan konsep asal
terbuka tanpa dinding.
Bagaimanapun, kini katanya, mereka memiliki perancangan baru ingin
membina pintu ataupun tingkat bagi menutup dinding terbuka di masjid
berkenaan.
Namun, katanya, dia menolak tanggapan bahawa akan menghalang jemaah
berkunjung ke masjid seperti mana, sesetengah rumah ibadat lain yang
berkunci.
“Meskipun, cermin dipasang nanti, jemaah tetap boleh masuk ke masjid
untuk beribadat, menyertai program mahupun berehat seperti sebelumnya,”
katanya.
Sumber: Sinar Harian