Mat Sabu Luah Rasa Pelik Bila...

Bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu
ALOR SETAR - Bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu meluahkan rasa pelik mendakwa UMNO seakan-akan gembira dengan keputusan pemilihan pucuk pimpinan PAS yang berlangsung pada Muktamar PAS Kali ke-61 yang lalu.

Kata Mohamad yang tewas kepada calon pro-ulama PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dalam pemilihan tersebut, hampir semua media pro-UMNO bagaikan mahu golongan ulama di dalam parti itu menang dalam pertandingan pucuk pimpinan PAS itu.

"Pertama kali UMNO dilihat gembira dengan keputusan muktamar. Saya orang lama dalam parti rasa pelik bin pelik bin pelik. Ada sesuatu akan berlaku

"Hampir seluruh alat propaganda Umno dan Barisan Nasional (BN) campur tangan dalam urusan pemilihan PAS. TV3, Utusan Malaysia, Sinar Harian, boleh dibaca dan difahami mereka mahu 'golongan ulama' menang.

"Bahkan seminggu sebelum pemilihan, Bernama cuba memainkan peranan dan dilihat cuba memihak kepada golongan yang dikatakan 'pro ulama'," katanya yang dipetik dari The Malaysian Insider, baru-baru ini.

Pemilihan PAS tempohari menyaksikan golongan pro-ulama di dalam parti itu menyapu bersih hampir semua jawatan utama parti berkenaan, termasuk jawatan AJK PAS Pusat yang sebelum ini yang disifatkan lebih cenderung pada DAP dan PKR.

Sebelum ini, dilihat berlaku perubahan di dalam hubungan UMNO - PAS yang dilihat semakin "mesra", khususnya sejak Datuk Seri Najib Tun Razak memegang jawatan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).


Perkara berkenaan dilihat seolah menjadi "duri dalam daging" di kalangan segelintir pihak di dalam PAS yang dikatakan mengamalkan "politik kebencian" sebagaimana yang selalu dilihat menjadi amalan para pemimpin DAP dan PKR terhadap UMNO.

Bagaimanapun, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang baru, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menegaskan bahawa arwah bapanya, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggalkan pesan supay bersatu dan tidak bermusuh dengan UMNO, khususnya dalam maslahat yang membabitkan kepentingan agama Islam. -Kedahnews.com