ALOR SETAR - Bekas Presiden PAS yang tewas dalam pemilihan parti, Mohamad Sabu mengadu pada portal pro-pembangkang, Malaysiakini.com, mengatakan bahawa UMNO telah membantu pemimpin PAS pro-ulama untuk menang pada pemilihan tersebut.
Mengadu pada portal terkenal berkenaan, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu mendakwa semua media pro-UMNO memberikan liputan kepada golongan tersebut.
"Semua agensi media pro-Umno seperti Utusan Malaysia, TV3 dan Bernama memberi keutamaan laporan kepada golongan ulama menjelang pemilihan parti.
"Ini jelas menunjukkan pusat strategi Umno terlibat secara aktif dalam pemilihan PAS," kata Mat Sabu yang dipetik dari portal itu, semalam.
Bagaimanapun, Mat Sabu tidak mengadu pula tentang media-media yang memberikan liputan meluas terhadap beliau dan rakan-rakannya yang dilabel sebagai pro-Pakatan Rakyat ketika berlangsung pemilihan PAS tempohari.
Mohamad Sabu turut dipetik portal berkenaan sebagai salah seorang daripada "korban" kumpulan ulama konservatif yang menguasai semua peringkat kepimpinan parti itu selepas PAS mengadakan muktamarnya dua minggu lalu.
"Turut senasib dengan Mohamad ialah Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin, Khalid Samad (Shah Alam) dan Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar)," dakwa portal berkenaan.
Nama-nama pemimipin yang disenaraikan portal itu dikatakan adalah antara pemimpin yang menggerakkan perjuangan PAS sejak 2008, namun telah "dibenam" oleh golongan pro-ulama PAS di Kuala Selangor pada awal bulan ini.
"Ini adalah barisan pemimpin yang aktif, terkenal dan sering dijemput untuk menghadiri ceramah, forum, malah menghadiri majlis dialog gereja, yang dianjurkan oleh orang bukan Islam atau Pakatan," kata Mat Sabu lagi.
Pada pemilihan PAS yang lalu, para pemimpin pro-ulama PAS menyapu bersih barisan pucuk pimpinan parti itu sekaligus menyaksikan ramai pemimpin pro-Pakatan Rakyat yang mempertikai seolah merajuk serta berura-ura untuk menubuhkan parti baru. -Kedahnews.com