Mazlan Aliman |
ALOR SETAR - Pemimpin PAS dari Johor, Mazlan Aliman mengejutkan ramai pihak hari ini apabila mengumumkan dirinya meletak jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat berkuatkuasa serta merta hari ini.
Mazlan yang juga difahamkan adalah satu-satunya calon pro-Pakatan Rakyat yang terpilih bagi jawatan AJK PAS Pusat pada pemilihan parti itu pada awal bulan ini bagaimanapun dilaporkan masih akan tetap bersama PAS sebagai ahli biasa.
"Saya meletakkan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkuatkuasa serta merta," katanya dalam satu sidang media yang berlangsung di ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut di ibu negara pagi tadi.
Mazlan difahamkan memberi alasan perletakan jawatan tersebut adalah disebabkan mahu memberi tumpuan yang lebih terhadap NGO yang diketuainya, Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK).
Pada pemilihan PAS yang lalu, Mazlan hanya menerima 593 undi dari perwakilan dan berada di kedudukan ke-14 dari 18 AJK PAS Pusat yang dipilih para perwakilan sekaligus menyaksikannya sebagai satu-satunya pemimpin pro-Pakatan Rakyat yang terpilih.
Ekoran itu, Mazlan dikatakan sempat meluahkan rasa sedih dan kecewanya apabila ramai rakan sealiran dengannya tewas bertanding dalam pemilihan pucuk pimpinan PAS yang menyaksikan penguasaan penuh golongan pro-ulama di dalam parti tersebut.
Malah katanya lagi, dia turut terkesan dengan krisis yang dihadapi PAS pada ketika ini yang dianggapnya sangat mencabar dan memerlukan kesabaran tinggi.
Dengan perletakan jawatan tersebut, dikatakan tiada lagi pemimpin pro-Pakatan Rakyat yang menganggotai pucuk pimpinan PAS bagi penggal 2015/2017 ini dalam semua peringkat pimpinan tertinggi parti tersebut. -Kedahnews.com