Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man |
KANGAR – Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man menasihatkan
golongan remaja agar mendalami ilmu persilatan yang memberi kebaikan
daripada membuang masa tanpa tujuan.
Katanya ilmu persilatan mendidik pengamalnya mendisiplin diri, sabar
serta tenang dalam menghadapi cabaran atau dugaan selain membina
keperibadian mulia.
“Untuk menjadi pewaris bangsa dan negara, golongan remaja hendaklah
sedar nilai yang perlu ada dalam diri mereka,” kata Azlan pada perasmian
Festival Seni Silat Terbuka Perlis bagi merebut Piala Menteri Besar
Perlis 2015 di Dewan Rakan Sukan Majlis Sukan Negeri (MSN) di sini, hari
ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan
Sukan Negeri merangkap Naib Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan
Malaysia (Pesaka) Perlis, Abdul Jamil Saad.
Menurut Azlan, dalam zaman moden sekarang wujud pelbagai bentuk
ancaman yang mempengaruhi remaja sehingga ramai tersasar dan terpengaruh
dengan budaya barat.
“Saya yakin mendalami ilmu persilatan mampu menjadi perisai yang
dapat menangkis budaya songsang dan sebaliknya remaja akan lebih
cintakan negara,” tambahnya.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Abdul Jamil berkata sebanyak 260
peserta berumur antara 6 tahun dan 20 tahun dari seluruh negara
menyertai kejohanan tiga hari itu yang julung kali diadakan.
Katanya kejohanan itu merupakan persiapan negeri mencari pesilat
untuk bertanding pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak tahun depan. –
BERNAMA