Menjelang Muktamar, Dua Pertiga Bongkah Ais PasMa Makin Muncul - Dr Mohd Zuhdi


ALOR SETAR - Tindakan sebilangan pemimpin PAS yang secara terbuka "menyerang" Datuk Seri Abdul Hadi Awang sama ada berbentuk peribadi atau kepimpinan beliau sejak kebelakangan ini tidak mengejutkan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marsuki.

Kata Dr Mohd Zuhdi, serangan demi serangan yang ditujukan pada Presiden PAS itu menyerlahkan lagi kelibat dan pendirian beberapa pemimpin parti itu yang pro-Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa).

"Sepertimana yang pernah saya utarakan sebelum ini, semakin hampir Muktamar Pas, dua pertiga bongkah ais PasMa semakin muncul.

"Sebelum ini hanya satu pertiga sahaja muncul melalui Presiden PasMa, Datuk Ir Pahrolrazi Zawawi.
"Mohammad ini rapat dengan Pahrolrazi, justeru kenyataan dia yang terbaru ini membenarkan jangkaan saya sebelum ini," katanya merujuk pada tindakan Mat Sabu yang mengkritik Abdul Hadi di Tumpat baru-baru ini.

Selain Mat Sabu, AJK PAS Pusat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin juga sebelum ini dilaporkan telah menyerang kepimpinan Abdul Hadi secara terbuka dan membandingkan Presiden PAS itu dengan pencabarnya, Ahmad Awang.

 "Ada yang mengatakan bahawa parti Islam ini sebagai satu keluarga, presiden ini ayah dia, jadi kita kena sokong ayah kita. Kalau presiden ayah kita, boleh tak ayah panggil anak dia barua?

"Bila kita bagi tahu dekat dia, suruh dia akui benda itu dan mohon maaf, orang akan hormat," ujarnya yang dipetik dari media sebelum ini.

Lebih mengejutkan, Nizar seolah tergamak melabelkan Abdul Hadi sebagai "pengkhianat" terhadap rakan Pakatan Rakyat apabila meletakkan calon PAS di kerusi Dun Kota Damansara pada PRU ke-13 yang lalu.

"Kita sudah buat perjanjian, tempat ini diwakili oleh PKR, tiba-tiba PAS letak seorang calon, ini khianat parti terhadap rakan kita, mana boleh!

"Siapa tak kenal ustaz Ahmad Awang, dia baru balik dari Beirut, persidangan antarabangsa di Lubnan, dia dekat situ, dia boleh cakap bahasa Arab dengan baik, malah dia juga boleh berkomunikasi dan bercakap dalam bahasa Inggeris dan dia (Abdul Hadi) tak boleh," katanya menunjukkan "belang" sebenar. -Kedahnews.com