Menteri Pendidikan India, Smriti Irani |
New Delhi - Menteri Pendidikan India, Smriti Irani berhadapan situasi memalukan
apabila didakwa membuat perisytiharan bercanggah berhubung bidang
akademiknya kepada pihak berkuasa pilihan raya negara itu.
Pada Rabu, mahkamah di sini bersetuju untuk mendengar aduan mengenai menteri berkenaan yang dituduh menipu mengenai ijazahnya.
Sebelum ini, berita mengenai penipuan itu mencetuskan kemarahan orang ramai yang mendesak dia meletak jawatan.
Menerusi petisyen yang difailkan, pada 2004, Smriti mengakui memiliki
ijazah jurusan kesenian, bagaimanapun menjelang pilihan raya umum pada
2014, dia mendakwa memiliki ijazah jurusan perdagangan.
Hakim Akash Jain berkata, mahkamah maklum berhubung perkara itu dan menetapkan kes itu pada 28 Ogos ini.
Dakwaan terhadap Smriti disuarakan beberapa minggu selepas Menteri
Undang-Undang Delhi dari Parti Aam Aadmi (AAP), Jitendra Singh Tomar,
ditahan kerana disyaki memiliki ijazah undang-undang palsu.
Jitendra meletak jawatan selepas menghadapi tuduhan jenayah, menipu dan terbabit dalam kegiatan pemalsuan.
Kes terbaru membabitkan Smriti menyebabkan ketua pembangkang dari AAP
dan Parti Kongres mendesak wanita itu meletak jawatan kerana mendakwa
dia ‘tiada hak secara moral, perlembagaan atau perundangan’ untuk
memegang jawatan menteri.
Bagaimanapun, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi menolak desakan itu.
Menteri Dalam Negeri Rajnath Singh pula berkata: “Menteri kami tidak perlu letak jawatan. Ini bukan kerajaan mereka (Kongres).”
Kerajaan Modi berdepan tekanan pembangkang sejak kebelakangan ini
berikutan pendedahan salah laku beberapa menteri kanan, termasuk Menteri
Luar yang dituduh membantu bekas bos kriket Lalit Modi yang terpalit
dengan skandal rasuah untuk mendapatkan dokumen perjalanan kecemasan di
Britain. - AFP