Gambar Hiasan |
GEORGE TOWN - Rakyat Malaysia dinasihat supaya tidak melancong ke Korea Selatan buat sementara waktu bagi mengelak jangkitan Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV).
Namun Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata sehingga kini kerajaan tidak mengenakan larangan ke Korea Selatan atau menghalang pelancong dari sana untuk memasuki Malaysia. "Kita pantau di tiap-tiap pintu masuk antarabangsa di lapangan terbang.
Jika didapati suhu badan (pelancong) tinggi, serta-merta kita akan tarik mereka untuk buat pemeriksaan lanjut," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sambutan Hari Tanpa Tembakau peringkat negeri di sini, hari ini.
Beliau berkata, jangka waktu inkubasi virus berkenaan biasanya mengambil masa tiga minggu dan mereka yang mengalami simptom seperti demam perlu melaporkan perkembangan kesihatan kepada hospital dengan segera.
"Walaupun semasa baru pulang (dari Korea Selatan) mereka tidak demam, tetapi dalam tempoh tiga minggu, kalau mereka terima apa-apa simptom, mereka perlu lapor kepada hospital dan buat ujian darah," katanya.
Dr Hilmi berkata, Kementeriannya telah mengambil pelbagai langkah kesiapsiagaan dan respons bagi menghadapi kemungkinan penularan MERS-CoV. Tiada jangkitan terbaru dilaporkan setakat ini.
Menurut laporan media tempatan di Seoul, sejak kes MERS-CoV dikesan pada 2 Jun lalu sehingga Jumaat lepas, 41 kes disahkan positif dengan empat kematian, manakala jumlah penduduk yang dikuarantin mencecah 1,660 orang.
Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, penularan MERS-CoV di Korea Selatan berpunca daripada kegagalan memastikan prinsip pencegahan dan kawalan jangkitan dilaksanakan secara berkesan di semua peringkat penjagaan perubatan serta kesihatan.
Mengenai sambutan Hari Tanpa Tembakau, Dr Hilmi berkata, secara purata hanya 18 peratus daripada perokok yang mengikuti program pemulihan di 480 klinik berhenti merokok seluruh negara berjaya meninggalkan tabiat itu sepenuhnya.
Beliau berkata, 23 peratus daripada populasi rakyat Malaysia adalah perokok dengan dianggar 50 hingga 60 remaja mula merokok setiap hari.
Justeru itu, katanya kementerian menerusi Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (Mysihat) memulakan inisiatif bandar bebas asap rokok yang telah dimulakan di negeri Melaka, Johor dan Pulau Pinang dengan bakal disertai Kelantan serta Terengganu tidak lama lagi.
"Saya percaya program sebegini boleh merangsang golongan perokok dari segenap lapisan masyarakat untuk menghentikan sebarang amalan merokok," katanya. - BERNAMA