Mengikut jejak langkah dua Presiden, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO untuk menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan parti berkenaan.
Mohd Najib bagaimanapun menjelaskan bahawa penangguhan pemilihan pucuk pimpinan UMNO yang dijadualkan berlangsung pada tahun depan itu hanyalah melibatkan tempoh 18 bulan sahaja bagi semua peringkat parti di seluruh negara.
Keputusan tersebut yang dibuat oleh mesyuarat pucuk pimpinan tertinggi parti itu adalah bertujuan memberi keutamaan terhadap khidmat parti kepada rakyat dengan segala keperluan sama ada di peringkat dasar mahu pun akar umbi sepanjang tempoh ‘bertenang’ itu.
"Ini bagi pengukuhan jentera UMNO agar lebih mantap menghadapi pilihan raya umum akan datang. Ini bukan perkara luar biasa," jelas Perdana Menteri.
Katanya, penangguhan pemilihan UMNO itu juga bertujuan untuk memberi tumpuan kepada kerja-kerja parti tersebut untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Sementara itu, Mohd Najib menegaskan tentang hikmah yang tersembunyi di sebalik penangguhan itu adalah untuk mengelak dari tindakan pihak-pihak tertentu yang merancang strategi politik untuk menghadapi pemilihan dan boleh mengeruhkan suasana politik dalaman itu sendiri.
“Kita mengumumkan penangguhan ini adalah kerana kita tidak mahu ada pihak nanti yang sudah merancang strategi politik untuk menghadapi pemilihan dan boleh mengeruhkan suasana politik dalaman itu sendiri.
“Ini juga dapat memberikan ruang dan peluang bagi pengukuhan parti dan kerja yang patut kita lakukan supaya UMNO dan rakan-rakan komponen BN kita lebih mantap untuk menghadapi pilihan raya akan datang.”
“Setelah membincangkan perkara ini dengan mendalam maka MT mengambil keputusan supaya pemilihan yang dijadualkan pada tahun hadapan 2016 ditangguhkan selama 18 bulan mengikut Fasal 10.16 perlembagaan parti.
“Ia beri hak kepada MT sendiri menangguhkan pemilihan pada peringkat MT, bahagian dan cawangan. Penangguhan ini tidak boleh lebih 18 bulan daripada tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan,” kata beliau lewat malam semalam.
Untuk rekod, penangguhan pemilihan parti tersebut sudah pun pernah dilakukan pada zaman pentadbiran dua bekas presiden UMNO terdahulu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Kali terakhir UMNO mengadakan pemilihan parti berkenaan ialah sekitar Oktober 2013 selepas menangguhkannya bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei 2013.
Pemilihan itu sepatutnya dilangsungkan pada 2012. Mandat kepimpinan penyandang jawatan UMNO sekarang akan berakhir pada 2016. Manakala mandat Parlimen sekarang pula hanya akan berakhir pada 2018. -Kedahnews.com