NEW YORK – Lima negara yang menyiasat nahas pesawat MH17 milik
Malaysia Airlines yang didakwa ditembak jatuh tahun lalu di Ukraine,
hari ini meminta Tribunal Antarabangsa mendakwa mereka yang
bertanggungjawab.
Menteri Luar Australia, Julie Bishop, berkata kerajaannya komited
untuk bekerjasama dengan dengan Malaysia, Ukraine, Belanda dan Belgium,
serta komuniti antarabangsa besar yang lain untuk memastikan keadilan
diberikan kepada keluarga mangsa.
“Perkara ini sudah dibincangkan oleh
negara yang berkaitan,” katanya.
Ukraine dan negara Barat lain mengesyaki Penerbangan MH17 itu
dimusnahkan oleh roket atas permukaan ke udara oleh tentera Russia atau
puak pemisah yang menguasai tempat pesawat terhempas di timur Ukraine.
Pembuat BUK iaitu roket sistem pertahanan udara melaporkan bulan ini
bahawa MH17 ditembak jatuh oleh versi roket yang lama yang tidak
digunakan lagi oleh tentera Russia tetapi masih berada di Ukraine.
Diplomat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, lima negara
berkenaan mahu Majlis Keselamatan PBB mewujudkan tribunal PBB yang boleh
mengheret mereka yang bertanggungjawab.
Minggu lalu, pakar undang-undang tiba di New York untuk menemui penasihat lembaga perundangan PBB mengenai perkara itu.
Seorang lagi diplomat berkata, pakar undang-undang itu menyerahkan
satu draf untuk pembentukan kepada tribunal itu dan draf resolusi kepada
PBB untuk menguatkuasakannya.
Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Ramlan Ibrahim, semalam
memberitahu pemberita bahawa perkara itu sudah dikemukakan untuk semakan
majlis.
“Kami berharap dapat mengangkat resolusi draf itu pada peringkat
Majlis Keselamatan Julai ini. Kami berharap yang terbaik,” katanya.
Ramlan berkata, Malaysia juga pada dasarnya sudah mengadakan
perbincangan dengan Russia ‘namun agak awal untuk menyatakan’ sama ada
Russia akan menyokong resolusi itu. – AP/BH Online