Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai |
GEORGETOWN – Fasa pertama pencarian pesawat MH370 meliputi keluasan
60,000 kilometer persegi akan selesai menjelang akhir bulan ini dan
Malaysia komited untuk meneruskan fasa kedua pencarian bulan depan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pada masa ini,
pencarian meliputi kira-kira 52,000 km persegi dan tugas pencarian
meliputi kawasan terpencil di Lautan Hindi dijangka selesai tidak lama
lagi.
“Jika kami masih tidak menjumpai bangkai pesawat, Malaysia komited
untuk meneruskan fasa kedua bulan depan membabitkan Pusat Penyelarasan
Agensi Bersama, jawatankuasa bertindak yang ditubuhkan bersama oleh
Malaysia, China dan Australia,” katanya kepada pemberita selepas
melancarkan projek bangunan baharu SJK (C) Hu Yew Seah di sini hari ini.
Beliau berkata fasa kedua pencarian melibatkan kawasan tambahan seluas 60,000 kilometer persegi.
Liow juga berkata kawasan pencarian fasa pertama sekarang adalah
seluas 60,000 kilometer persegi dan tiga buah kapal, Fugro Equator,
Fugro Discovery dan Go Phoenix terlibat dalam operasi di laut dalam.
“Kontrak dengan Go Phoenix akan berakhir dengan memenuhi obligasi
kontraktual bagi fasa pertama usaha mencari manakala dua buah lagi kapal
akan meneruskan misi,” katanya.
Pesawat MH370 Malaysia Airlines membawa 239 penumpang dan anak kapal
apabila ia hilang daripada skrin radar semasa dalam penerbangan ke
Beijing dari Kuala Lumpur pada pagi 8 Mac, tahun lepas.
Sementara itu, Liow berkata kerajaan akan meningkatkan keselamatan
maritim di Laut China Selatan untuk menjamin keselamatan semua kapal.
Beliau berkata susulan insiden rampasan kapal tangki MT Orkim
Harmony, kementerian sedang merangka beberapa langkah untuk mengetatkan
keselamatan.
“Kami telah berjaya mengurangkan aktiviti lanun hampir kepada sifar
di Selat Melaka dan kami berharap dapat melakukan yang sama di Laut
China Selatan,” kata beliau.
Kapal tangki MT Orkim Harmony yang membawa muatan 6,000 tan metrik
petrol bernilai RM21 juta dilaporkan hilang pada 8.57 malam, 11 Jun
ketika dalam pelayaran dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan. – BERNAMA