MIC Kedah Sepakat Tunggu Azuyah Pulang Dari Umrah

ALOR SETAR - Nasib Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) sebuah sekolah kluster berprestasi tinggi di Sungai Petani yang terbabit dalam kontroversi berhubung salah faham isu minum air kencing dijangka bakal diketahui selepas 2 Julai depan.

Ahli Majlis Tertinggi MIC, M Saravanan berkata, mereka dimaklumkan sebarang tindakan tidak boleh dilakukan kerana Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Datin Azuyah Hassan kini sedang mengerjakan umrah dan akan pulang pada tarikh berkenaan.

Menurutnya, mereka sepakat untuk menunggu dalam tempoh dua minggu lagi bagi memberi peluang kepada JPN menyelesaikan kes itu.

“Disebabkan tidak dapat menyerahkan sendiri surat aduan berhubung salah laku guru terbabit kepada pengarah dan timbalan pengarah kami sepakat menyerahkannya kepada wakil JPN.

“Wakil JPN turut menjelaskan isu terbabit masih dalam siasatan dan berjanji guru terbabit akan ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk sementara waktu sehingga pengarah pulang,” katanya kepada media di hadapan JPN, di sini, kelmarin.

Saravanan berkata, sekiranya laporan akhir siasatan kelak mendapati guru itu terbukti bersalah, mereka menuntut supaya dipindahkan ke sekolah lain.

Semalam media melaporkan Exco Pendidikan, Datuk Tajul Urus Mat Zain menjelaskan kenyataan PK HEM itu yang dianggap menyentuh sensitiviti kaum bukan Islam hingga mencetuskan viral di laman media sosial sebenarnya disalah tafsir dan hanya bersifat gurauan.

Menurutnya, dalam ucapan guru itu meminta murid bukan Islam mengelak dari minum di depan murid Islam. 

Murid bukan Islam boleh minta izin guru untuk minum di luar kelas dan dengan nada berseloroh (bergurau) meminta mereka minum di tandas iaitu air paip “tapi jangan minum air kencing kamu pula”.

Sumber: Sinar Harian