Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar |
KUALA LUMPUR – Seorang rakyat asing yang disyaki menganggotai
kumpulan militan Negara Islam (IS) dan tersenarai sebagai antara
individu paling dikehendaki pihak berkuasa di sebuah negara Afrika Utara
ditahan awal bulan lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata suspek berusia
31 tahun itu ditahan menerusi operasi khas di sekitar Lembah Klang
dijalankan Bahagian Counter Terrorisme Cawangan Khas Bukit Aman.
Beliau berkata, suspek kemudian telah diusir ke negara asal pada 17
Jun lalu, jam 8 malam melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
(KLIA), Sepang. “Suspek memasuki Malaysia pada Mac tahun lalu
menggunakan visa pelajar yang disyaki palsu, atas nama sebuah Institusi
Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Lembah Klang.
“Visa terbabit diperoleh secara salah dari sebuah sindiket yang
beroperasi di Lembah Klang untuk membolehkan suspek menetap dan
menjalankan aktiviti yang boleh mengancam keselamatan negara,” katanya
dalam kenyataan, hari ini.
Suspek ditahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Imigresen kerana disyaki tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Mengikut rekod, Khalid berkata, suspek sama juga sebelum ini pernah
ditahan pada 2007 dan dipenjara selama dua tahun di negara asalnya
kerana terbabit dalam aktiviti keganasan.
“Dia berlepas ke Syria pada 2013 untuk menyertai kumpulan militan IS
dan ditangkap pada awal 2014 ketika cuba menyusup masuk ke Turki,”
katanya. – BHarian Online