Mohd Azam Suruh Sabar Tunggu Giliran

Mohd Azam (dua, kanan) menyerahkan sumbangan Ziarah Ramadan kepada 300 keluarga terpilih sepanjang Ramadan ini.
ALOR SETAR - Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian berkaitan hudud yang gagal dibentangkan di Parlimen buat kali kedua bukan menunjukkan kegagalan Pas dalam mengangkat syiar Islam, sebaliknya tertakluk pada Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat.
Ketua Pemuda Pas Kedah, Mohd Azam Abd Samat berkata, kejayaan RUU itu melalui proses sehingga ke Parlimen menyerlahkan kebijaksanaan Pas membawa usul itu, pada masa sama mendedahkan wajah sekular Umno kerana cuba melengahkan usul.
“Usaha Pas untuk menegakkan undang-undang syariah Islam sudah termaktub dalam Perlembagaan parti. Apabila memperoleh kuasa pemerintahan negeri, Pas membentang dan meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) di Dun Kelantan (1993) serta Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir), 2001 dan (Hudud dan Qisas), 2002 di Dun Terengganu,” katanya.
Menurutnya, usul pembentangan RUU Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Ahli Parlimen Marang, merupakan antara usaha dan percubaan Pas dalam memartabatkan perundangan Islam.
“Pas bertanggungjawab mengangkat RUU itu hingga menjadi perundangan sah mengikut prosedur dan amalan demokrasi negara ini. Namun masanya belum tiba kerana gagal dibentangkan buat kali kedua pada Sidang Parlimen baru-baru ini,” katanya.
Mohd Azam berkata, ini menunjukkan kesabaran, kesungguhan dan istiqamah Pas sepanjang tempoh itu hingga akhirnya ia disenaraikan.
“Kita perlu bersabar. Hanya menunggu giliran, RUU terbabit pasti akan dibentangkan. Golongan yang mendakwa kononnya Pas ditipu dan masuk perangkap Umno sebenarnya sengaja membiarkan emosi mempengaruhi mereka,” katanya.
Sebaliknya, katanya, yang terperangkap adalah Umno di mana selama ini berdolak-dalih terhadap pelbagai kepentingan berkaitan Islam.
"Usul RUU Persendirian ini menunjukkan kebijaksanaan PAS memanfaatkan peluang dan ruang. Penangguhan dan alasan bagi memberi laluan kepada RUU itu menyerlahkan sikap sekular Umno.

"Sedangkan melaksanakan perundangan Islam merupakan sebahagian perintah ALLAH SWT, termasuk solat, puasa dan haji. Wajarkah perkara lain perlu diberikan keutamaan berbanding melaksanakan syariat Allah?,” katanya.