Mohd Najib Dedah Punca Sebenar Tun M Serang Kepimpinannya

Datuk Seri Najib Tun Razak petang ini mendedahkan jawapan kepada persoalan yang menjadi tanda tanya banyak pihak selama ini iaitu mengapa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyerang kepimpinan beliau secara berterusan.

Kata Najib, puncanya adalah kerana Dr. Mahathir mahukan beliau berundur daripada jawatan Perdana Menteri seperti yang dilakukan Tun Abdullah Ahmad Badawi semata-mata kerana enggan memenuhi serta melaksanakan permintaan peribadi Dr. Mahathir.

“Saya menolak kerana adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai Perdana Menteri yang dipilih secara demokrasi untuk mentadbir negara ini dan melakukan apa yang saya rasakan bagus untuk negara ini, bukan untuk diri seorang sahaja.

“Saya tidak percaya rakyat mahukan seorang bekas Perdana Menteri mentadbir negara ini dengan menggunakan proksi,” kata beliau dalam entri terbaru menerusi laman blognya, http://najibrazak.com/, semalam.

Najib bagaimanapun tidak menjelaskan apakah permintaan-permintaan peribadi daripada Dr. Mahathir itu.

Beliau menambah, bagi tujuan menumbangkan beliau daripada jawatan Perdana Menteri, Dr. Mahathir menjadikan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai peluru untuk menyerang kepimpinannya.

Kata Najib, agak jelas Dr. Mahathir bukan mencari jawapan tetapi menjadikan 1MDB sebagai alasan semata-mata.

Beliau berkata, Dr. Mahathir tidak jujur dalam mempersoalkan mengenai 1MDB apabila menuduh RM42 bilion sebagai hilang, sedangkan ia adalah hutang kepada syarikat yang mempunyai aset bernilai RM51 bilion.

Jelas beliau, selepas hutang RM42 bilion diperjelaskan secara terperinci, Dr. Mahathir mengubah kenyataan dengan berkata beberapa bilion telah hilang pula.

“Kalau Tun jujur mahukan jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan, beliau hanya perlu menanti hasil beberapa siasatan – oleh Ketua Audit Negara, Bank Negara dan PAC – untuk merumuskan (jawapan kepada 1MDB).

“Bagaimanapun, beliau seolah-olah tidak mempunyai keyakinan terhadap semua institusi dan pihak berkuasa yang sah itu atau minat terhadap jawapan yang mereka berikan,” jelasnya.

Mengulas lanjut Najib menjelaskan, secara realitinya, andai tidak ada 1MDB pun, Dr. Mahathir akan tetap cuba mengulingkan beliau dengan menggunakan alasan yang lain pula.

Najib juga mengulangi jaminan tindakan yang sewajarnya akan diambil andai ada berlaku sebarang pecah amanah atau penipuan dalam mana-mana urusniaga 1MDB tetapi semua itu hanya boleh dibuat setelah penyiasatan menyeluruh disempurnakan.

Kenyataan penuh Mohd Najib boleh dibaca di sini.