Mohd Najib Umum BAJET 2016 Pada 23 Oktober Ini

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah semasa mempengerusikan Konsultasi Bajet 2016 bertema 'Memperkukuhkan Pertubuhan, Memperluas Keterangkuman, Memastikan Kemapanan Fiskal' di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA, 15 Jun 2015 – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata Bajet 2016 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 23 Oktober ini dengan fokus memperkukuh pertumbuhan, memperluas keterangkuman dan memastikan kemampanan fiskal.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata Bajet 2016 akan menjadi bajet pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang dibentang di Parlimen pada 21 Mei.

“Sasaran makro dan strategi meluas yang digariskan di bawah RMK11 akan direalisasikan melalui bajet tahunan.

“Bajet tahunan merupakan blok kritikal ke arah mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020,” katanya pada Majlis Konsultasi Bajet 2016 di sini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dan Datuk Chua Tee Yong dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah.

Melahirkan keyakinan beliau untuk mencapai Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita USD15,000, Najib berkata kerajaan perlu mengurus pengagihan kekayaan ini dengan cara yang adil demi kepentingan rakyat dan pendekatan modal ekonomi.

“Bergerak ke hadapan, pendekatan ini akan menjadi tulang belakang bagi merangka bajet tahunan kita,” katanya.

Mengimbas kembali Bajet 2015, Najib berkata daripada 91 ‘touch point’ yang menjadi inti pati bajet itu, lapan telah disempurnakan, 69 masih di peringkat pelaksanaan dan 14 lagi dalam perancangan yang dijangka bermula pertengahan bulan ini.

Satu daripada inisiatif yang selesai ialah pemberian diskaun sebanyak 20 peratus kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga 31 Mac, yang telah memanfaatkan 49,968 peminjam untuk melangsaikan pinjaman, katanya.

Antara inisiatif dalam proses pelaksanaan ialah pembinaan Lebuhraya Pantai Barat-Taiping, Perak; pembiayaan usahawan; pinjaman mikro kepada penjaja dan peniaga kecil; pembinaan 32 klinik 1Malaysia dan penambahbaikan bekalan air dan elektrik di luar bandar, katanya. – BERNAMA